Accessibility Tools

Skip to main content

168 penerima manfaat disantuni dalam Himpunan OKU dan Anak Yatim DUN Panchor

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARUL NAIM, 2 Ogos – Sebanyak 168 penerima manfaat terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), anak yatim, penerima Skim Manfaat Armalah dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) disantuni dalam Himpunan OKU dan Anak Yatim DUN Panchor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panchor YB Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, berkata program tersebut merupakan antara inisiatif menyantuni golongan yang memerlukan, selaras dengan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

Menurutnya, penerima sumbangan melibatkan 45 OKU, 100 anak yatim, empat penerima Skim Manfaat Armalah serta 19 penerima bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan yang disantuni dalam Majlis di Pusat Khidmat DUN Panchor pada 30 Julai.

“Program seperti ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah menjadi medan untuk mendekati dan menyantuni golongan yang memerlukan agar mereka terus merasai keprihatinan dan sokongan masyarakat.

“Semoga setiap bantuan yang disampaikan dapat memberi sedikit kelegaan, menyuntik semangat dan menjadi pemangkin kepada para penerima untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya dalam media pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Datin Sri Amar D’Raja Datin Hasmani Hussain yang bersama-sama menyantuni para penerima serta menyampaikan sumbangan sebagai tanda kasih dan keprihatinan kepada masyarakat.

Menurutnya, usaha menyantuni golongan kurang bernasib baik perlu dilaksanakan secara berterusan kerana mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang wajar diberikan perhatian dan sokongan.

“Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar, khususnya OKU, anak yatim, ibu tunggal dan usahawan kecil yang memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut sehingga berlangsung dengan lancar.

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan agenda kebajikan dapat dilaksanakan secara berterusan, sekali gus membuktikan bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Pautan berjaya disalin!