Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan hargai sokongan Rabitah terhadap pendidikan Islam

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 2 Ogos - Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Rabitah al-Alami al-Islami atas komitmen berterusan badan itu dalam menyokong perkembangan pendidikan Islam dan pengajian al-Quran di sekolah-sekolah seliaan kerajaan negeri.

Penghargaan itu disampaikan sempena kunjungan hormat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat kepada Pengarah Rabitah al-Alami al-Islami Dr Mohammed Gharawi Ahmed di pejabat Rabitah di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dato' Wan Roslan berkata, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan atas pengiktirafan berprestij yang diberikan kepada pelajar tahfiz sempena Majlis Keraian dan Penghargaan Penghafaz al-Quran yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Jun.

Katanya, kerajaan negeri berharap program pengiktirafan serta penyampaian penghargaan kepada pelajar tahfiz bersanad itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan penglibatan bersama Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk memperkukuh kerjasama dengan Rabitah, khususnya dalam program penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar dan guru, di samping pelbagai program lain yang boleh dirangka demi manfaat bersama.

"Semoga hubungan silaturahim dan kerjasama strategik yang terjalin ini terus diperkukuh demi memartabatkan syiar Islam serta memperkasakan pendidikan Islam di Negeri Kelantan," katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Turut mengiringi rombongan, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar; Timbalan Pengarah Sekolah YIK Ahmad Pakhruddin Deraman serta Timbalan Pengarah Akademik YIK Sukeri Hussin.

Pautan berjaya disalin!