Paip air mentah Sungai Bagan siap dibaiki lebih awal, bekalan pulih secara berperingkat
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media AKSB
KOTA BHARU, 2 Ogos – Kerja pembaikan paip air mentah yang bocor di HCW Sungai Bagan, Machang berjaya disiapkan lebih awal daripada jangkaan, sekali gus membolehkan pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong kembali beroperasi seperti biasa.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menerusi satu hantaran di laman media sosial pada Sabtu memaklumkan kerja pembaikan itu siap sepenuhnya pada jam 7.30, 31 Julai manakala pengeluaran air di LRA Merbau Chondong kembali normal pada pukul 3 pagi, hari ini.
"Bekalan air ke premis pengguna dijangka pulih secara berperingkat. Bantuan lori tangki AKSB dan operator negeri lain masih diteruskan hari ini bagi memastikan pengguna menerima bekalan air bersih," menurut AKSB.
Kerja pembaikan membabitkan paip MS 600 di HCW Sungai Bagan itu bermula pukul 9 malam pada 30 Julai, seperti yang dijadualkan, sebelum berjaya disiapkan pada pukul 7.30 malam, 31 Julai.
Pada peringkat awal, AKSB menganggarkan proses pembaikan mengambil masa antara 24 hingga 36 jam, namun kerja berkenaan berjaya diselesaikan lebih awal.
Gangguan bekalan air itu membabitkan kira-kira 34,000 akaun pengguna di seluruh jajahan Machang, sebahagian Pasir Puteh serta sebahagian Kota Bharu melibatkan kawasan Kok Lanas.
Sepanjang tempoh gangguan, AKSB menggerakkan lori tangki air dan lori air kontrak ke kawasan yang terjejas bagi membantu menyalurkan bekalan air bersih kepada pengguna.
Pada masa sama, AKSB turut mendapat bantuan daripada beberapa operator air negeri lain, iaitu Pengurusan Air Selangor, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Terengganu, Pengurusan Air Pahang, Syarikat Air Darul Aman dan Perbadanan Air Pulau Pinang bagi membantu membekalkan air ke kawasan yang mengalami gangguan.
Pengguna yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi PINTAS Careline di talian 15777.














