Karnival Bachok Biz dan Food Fest 2026 rancakkan ekonomi, promosi usahawan tempatan
Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 1 Ogos - Penganjuran Karnival Bachok Biz dan Food Fest 2026 merancakkan aktiviti keusahawanan serta mempromosikan produk dan lokasi di daerah ini kepada masyarakat, khususnya pengunjung dari luar Kelantan.
Sehubungan itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, program seumpama itu wajar diteruskan setiap tahun supaya menjadi sebahagian daripada kalendar aktiviti keusahawanan negeri dan mampu menarik kehadiran pelancong pada waktu tertentu.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak pengurusan yang berjaya menganjurkan karnival ini. Sudah tentu program ini memberi manfaat secara langsung kepada usahawan dan peniaga tempatan.
"Ia juga merupakan salah satu usaha kerajaan membantu mempromosikan produk dan lokasi kepada masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Bachok Biz dan Food Fest 2026, di Pasar Baru Jelawat di sini, hari ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman
Menurutnya, penganjuran program seperti itu secara berterusan mampu memperlihatkan perkembangan baharu yang berlaku di Bachok kepada masyarakat luar.
Tambahnya, masyarakat Kelantan sememangnya mempunyai budaya berniaga yang kuat dan aktiviti perniagaan dapat dilihat di seluruh jajahan di negeri itu.
Dalam pada itu, Dato' Md Anizam memaklumkan Kerajaan Negeri Kelantan turut membantu usahawan menerusi penyediaan pinjaman mikrokredit berjumlah antara RM3,000 hingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.
Katanya, kemudahan mikrokredit tanpa riba itu disediakan melalui Bank Muamalat, manakala Agrobank turut menyediakan kemudahan yang samabagi membantu usahawan dan peniaga.
Beliau juga menggalakkan golongan belia menceburi bidang perniagaan kerana ia merupakan antara sumber pendapatan yang mampu menjana rezeki selain pekerjaan dalam sektor kerajaan dan swasta.
Ujarnya lagi, bukan senang untuk berniaga tetapi dengan sokongan pelbagai pihak ia akan menjadi lebih mudah untuk diuruskan.
"Dengan sokongan pentadbiran kerajaan negeri dan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDP-BPI) saya percaya segala usaha yang dilaksanakan oleh para usahawan akan berjaya," jelasnya.
Beliau turut berpesan agar masyarakat sentiasa memohon pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT dalam setiap usaha yang dilakukan.
Sementara itu, Ketua Jajahan Bachok merangkap YDP MDB-BPI Mohd Zaki Yusoff menyifatkan penganjuran Karnival Bachok Biz dan Food Fest 2026 di Bandar Baharu Jelawat bertepatan dengan usaha menghidupkan kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu.
Katanya, program yang berlangsung selama empat hari bermula 29 Julai hingga 1 Ogos itu menghimpunkan jualan dan pameran produk, festival makanan, promosi usahawan tempatan, aktiviti kekeluargaan serta pelbagai pengisian untuk pengunjung.
Menurutnya, MDB-BPI menyediakan platform kepada usahawan mikro kecil dan sederhana, peniaga makanan serta usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, membina rangkaian dan meluaskan pasaran kepada pengunjung serta tetamu.
"Setiap pembelian oleh pengunjung merupakan sokongan langsung kepada keluarga peniaga dan kepada kitaran ekonomi daerah Bachok.
"Dalam kita mengejar kemajuan ekonomi, marilah kita berpegang kepada prinsip perniagaan yang halal, amanah dan berintegriti," ujarnya.
Mengulas tentang Bandar Baharu Jelawat, beliau berkata bandar tersebut dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu di Bachok dengan kos pembangunan hampir RM90 juta yang meliputi pelbagai kemudahan seperti pasar awam bertingkat, surau, hentian bas dan tandas awam.
Katanya lagi, bandar itu mula beroperasi sekitar tahun 2023 sebelum dirasmikan pada Januari 2025 oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Ustaz Dato' Mohd Nasuruddin Daud.
Menurut Mohd Zaki, pembangunan itu memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri Kelantan bersama MDB-BPI dalam menyusun aktiviti perniagaan dengan lebih baik melalui penyediaan kemudahan awam yang selesa serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah penyampaian sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Agrobank oleh Dato' Md Anizam kepada 50 asnaf serta penyerahan khemah sumbangan Agrobank oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank YM Dato' Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin kepada Setiausaha MDB-BPI Mohd Khairul Adzhar Mohd Adnan dan dua wakil peniaga.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli-ahli MDB-BPI.
















