Accessibility Tools

Skip to main content

Pentadbiran Islam boleh pilih pandangan pelbagai mazhab demi maslahat rakyat

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 30 Julai — Pentadbiran Islam tidak semestinya terikat kepada satu mazhab sahaja. Sebaliknya, pemerintah boleh memilih pandangan daripada mana-mana mazhab yang muktabar selagi tidak bercanggah dengan nas yang jelas serta lebih menepati maslahat rakyat dan keperluan semasa.

Demikian kenyataan Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar Diraja Dato' Mohd Amar Abdullah menerusi hantaran di media sosialnya, semalam.

Beliau berkata, para ulama sejak dahulu telah menjelaskan bahawa fiqh pemerintahan mempunyai ruang yang lebih luas berbanding fiqh yang diamalkan oleh individu kerana setiap dasar kerajaan perlu mengambil kira kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

Menurutnya, seseorang boleh beramal mengikut mazhab yang menjadi pegangannya dalam urusan ibadah dan kehidupan peribadi, namun pemerintah memikul amanah yang lebih besar untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan awam.

"Selagi sesuatu pandangan datang daripada mazhab yang muktabar dan tidak bercanggah dengan nas yang jelas, pandangan itu boleh dipilih apabila lebih sesuai dengan keperluan semasa.

"Malaysia termasuk Kelantan secara tradisinya berpegang kepada mazhab al-Syafie. Namun dalam beberapa urusan pentadbiran, pandangan daripada mazhab lain turut diterima apabila didapati lebih sesuai untuk mencapai maslahat umum. Antara contoh yang jelas ialah pelaksanaan pembayaran zakat fitrah," jelasnya.

Katanya lagi, mazhab al-Syafie pada asalnya menetapkan zakat fitrah ditunaikan menggunakan makanan asasi. Namun dalam pentadbiran semasa, pembayaran menggunakan wang diterima sebagai dasar kerana lebih praktikal, mudah diurus dan memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan penerima.

"Perubahan pada kaedah pelaksanaan ini tidak mengubah syariat. Yang berubah hanyalah pilihan pandangan fiqh yang lebih sesuai bagi memenuhi keperluan masyarakat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan yang sama digunakan ketika Kelantan menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah apabila beberapa peruntukannya, termasuk penetapan umur tertentu bagi pelaksanaan hukuman, dibina berdasarkan pandangan daripada mazhab lain yang turut diiktiraf para ulama.

Tambahnya, pendekatan itu dipilih kerana lebih sesuai dengan keperluan sistem perundangan dan pentadbiran semasa tanpa menyalahi prinsip syariat.

Mengulas lanjut beliau menegaskan, kepelbagaian pandangan dalam kalangan mazhab bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya merupakan kekayaan khazanah fiqh Islam yang membolehkan pemerintah memilih pandangan paling sesuai mengikut keadaan, masa dan tempat.

"Para fuqaha turut merumuskan satu kaedah penting dalam fiqh siyasah bahawa setiap tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan maslahat mereka.

"Kaedah ini menjadi antara asas penting dalam pentadbiran Islam. Pemerintah bukan sahaja melihat sama ada sesuatu perkara mempunyai sandaran hukum, bahkan turut menilai kesannya terhadap agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan kesejahteraan masyarakat. Setiap dasar hendaklah membawa manfaat, mengelakkan mudarat dan memelihara kepentingan umum," katanya.

Di samping itu, Dato' Mohd Amar memaklumkan, fiqh pemerintahan menuntut keluasan ilmu, kefahaman terhadap realiti semasa serta kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan kerana tidak semua persoalan dapat diselesaikan dengan berpandukan satu pandangan fiqh secara terpisah daripada keadaan masyarakat.

Hurainya, pemerintah perlu memahami perubahan zaman, cabaran semasa serta implikasi setiap keputusan sebelum memilih pendekatan yang paling hampir dengan kehendak syariat.

"Fiqh individu berbeza daripada fiqh pemerintahan kerana individu hanya bertanggungjawab terhadap amalannya sendiri, manakala pemerintah memikul amanah yang memberi kesan kepada seluruh rakyat dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

"Apabila keluasan fiqh ini difahami, akan terserlah bahawa Islam menyediakan prinsip yang lengkap untuk mentadbir masyarakat dan negara. Prinsip-prinsip inilah yang kemudiannya diterjemahkan oleh generasi awal Islam sehingga lahir sebuah tamadun yang berkembang merentasi pelbagai bangsa, bahasa dan benua," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!