352 keping atap zink bantu rakyat DUN Kemuning hadapi musim hujan - YB Zakhran
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 30 Julai – Sebanyak 352 keping atap zink jenis gegelung bernilai hampir RM7,000 disalurkan kepada penduduk berpendapatan rendah di DUN Kemuning bagi membantu mereka menggantikan bumbung rumah yang bocor menjelang musim hujan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata bantuan itu merupakan antara inisiatif bagi meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan masalah kebocoran bumbung sehingga menjejaskan keselesaan hidup seharian.
Menurutnya, bantuan tersebut melibatkan atap zink bersaiz lapan kaki, 10 kaki dan 12 kaki yang diagihkan kepada pemohon yang layak melalui penghulu mukim masing-masing.
“Permohonan ini diterima daripada golongan rakyat berpendapatan rendah bagi menggantikan atap zink jenis gegelung yang bocor di bahagian utama rumah seperti ruang tamu, bilik, dapur dan tandas.
“Semoga dengan bantuan ini dapat memberikan keselesaan kepada mereka, khususnya menjelang musim hujan,” katanya menerusi media sosial selepas menyampaikan bantuan tersebut, semalam.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang kerap hujan sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai penduduk yang memiliki bumbung rumah uzur berdepan kesukaran apabila air hujan menitis melalui celahan atap yang rosak.
Menurutnya, situasi tersebut menjejaskan keselesaan penghuni dan mengganggu kehidupan harian terutama ketika waktu malam apabila kebocoran berlaku di ruang utama rumah.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
"Bantuan seperti ini diharap dapat mengurangkan beban mereka dalam melakukan kerja-kerja pembaikan rumah,” ujarnya.












