Jemaah Islam wajib berpaksikan hukum, adab dan syariat - TMB Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 30 Julai – Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Hassan menegaskan setiap gerak kerja dalam sebuah jemaah Islam mesti berpaksikan hukum, adab dan syariat dengan menjadikan al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan utama perjuangan.
Beliau berkata perjuangan haraki perlu difahami sebagai sebuah harakah Islamiah yang tidak boleh dipisahkan daripada landasan syariat dalam setiap tindakan dan keputusan.
“Perjuangan Islam ini sebenarnya adalah jemaah dan harakah Islamiah. Jadi, sebagai sebuah jemaah Islam kita mempunyai hukum, adab, panduan dan landasan. Panduan serta landasan itu ialah al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kemenangan siasah tidak boleh dicapai dengan menggadaikan prinsip perjuangan Islam walaupun peluang untuk menang berada di hadapan mata.
Menurutnya jika sesuatu tindakan memerlukan perjuangan melangkaui batas yang ditetapkan syariat, maka umat Islam wajib meninggalkan jalan tersebut kerana matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
“Kita mungkin hanya selangkah menuju kemenangan namun jika untuk mencapainya kita perlu melangkaui garis sempadan yang ditetapkan syariat jawapannya tetap tidak. Kita terpaksa berundur,” jelasnya.
Beliau juga menyeru seluruh umat Islam mengingati sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang membuktikan prinsip Islam sentiasa diutamakan apabila Baginda menolak tawaran untuk menjadi pemerintah di Mekah kerana tidak bertepatan dengan manhaj perjuangan Islam.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan seluruh ahli jemaah supaya memelihara ukhuwah dan menjauhi budaya persaingan yang boleh merosakkan hubungan sesama pejuang.
Katanya anggota harakah Islamiah tidak boleh bersikap saling menjatuhkan demi kepentingan peribadi atau kedudukan.
“Apabila kita berada dalam jemaah Islam kita tidak boleh kembali ke dalam jemaah kita lalu saling melawan sahabat seperjuangan semata-mata untuk naik.
“Ini bukan akhlak, bukan syahsiah, bukan adab dan bukan adat kita sebagai seorang pejuang dalam harakah Islamiah,” ujarnya.








