Accessibility Tools

Skip to main content

66 pelajar DUN Bunut Payong terima saguhati IPT fasa kedua

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 30 Julai – Sejumlah 66 pelajar dari DUN Bunut Payong yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima Saguhati IPT daripada kerajaan negeri sebagai dorongan untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman berkata bantuan tersebut merupakan tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha anak-anak Kelantan menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi, di samping menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan kepada kejayaan mereka.

Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian ke IPT merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri kerana bukan semua individu diberikan kesempatan tersebut.

“Bersyukur kita dipilih untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerana bukan semua orang mendapat peluang ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong, YB Shaari Mat Yaman

“Gunakanlah peluang yang ada dengan bersungguh-sungguh menuntut ilmu supaya dapat kembali berbakti kepada agama, keluarga, masyarakat dan negeri,” katanya dalam kenyataan media selepas menyampaikan Saguhati IPT Fasa 2 di Dewan Pusat Khidmat DUN Bunut Payong, pada Selasa.

Beliau berkata, penyampaian bantuan pendidikan itu dilaksanakan secara berfasa dengan melibatkan 50 pelajar pada Fasa 1 dan 66 pelajar lagi pada Fasa 2, menjadikan keseluruhan 116 pelajar menerima manfaat bagi tahun ini.

Menurutnya, walaupun nilai sumbangan yang diberikan tidaklah besar, tetap membawa makna yang cukup signifikan sebagai penghargaan kepada ibu bapa serta anak-anak yang berusaha gigih sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bantuan ini adalah tanda ingatan kerajaan negeri kepada anak-anak yang berjaya serta penghargaan kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban demi memastikan kejayaan pendidikan anak-anak,” katanya.

Beliau turut berkongsi kisah kejayaan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Kelantan yang dinobatkan sebagai pelajar terbaik Malaysia meskipun berasal daripada keluarga sederhana.

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan sekiranya disertai dengan kesungguhan, disiplin dan usaha yang berterusan.

Dalam pada itu, beliau memetik hasrat Menteri Besar Kelantan berkenaan kecemerlangan anak-anak Kelantan dalam bidang pendidikan bukan sahaja mengharumkan nama negeri bahkan membantu mengekalkan imej Kelantan sebagai Serambi Mekah.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Pusat Khidmat DUN Bunut Payong Faris Basir, mengingatkan para pelajar supaya memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara berhemah dan tidak terlalu bergantung kepadanya dalam proses pembelajaran.

Menurutnya, penggunaan AI secara berlebihan boleh menjejaskan daya fikir dan perkembangan kognitif pelajar kerana mereka cenderung mendapatkan jawapan segera tanpa melalui proses perbincangan dan pemikiran yang kritis.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi DUN Bunut Payong Mohd Nordin Ibrahim.

Pautan berjaya disalin!