529 ibu tunggal DUN Semerak terima insentif kerajaan negeri
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH, 30 Julai – Sebanyak 529 ibu tunggal di DUN Semerak menerima insentif khas Kerajaan Negeri menerusi Program Himpunan Armalah (Ibu Tunggal) DUN Semerak Fasa 2 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Penggawa Semerak, pada 22 Julai.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman berkata program berkenaan merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam menyantuni golongan ibu tunggal menerusi penyaluran bantuan yang mampu meringankan beban kos sara hidup mereka.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan itu turut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan golongan armalah yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.
“Sebanyak 529 penerima yang layak hadir menerima insentif khas pada fasa kali ini. Semoga sumbangan yang disalurkan dapat meringankan beban, menyantuni serta membawa keceriaan kepada golongan ibu tunggal di DUN Semerak,” katanya dalam media sosial selepas menyampaikan sumbangan tersebut.
Beliau berkata, Program Himpunan Armalah DUN Semerak Fasa 2 merupakan inisiatif Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (U-KeKWa) yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN (PKD) Semerak bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasar.
Menurutnya, penganjuran program tersebut bukan sekadar menyalurkan bantuan kewangan, malah menjadi medium untuk mendekati golongan ibu tunggal serta menghargai peranan mereka dalam membesarkan keluarga dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan, termasuk ibu tunggal,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada U-KeKWa, PKD Semerak serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, kerjasama erat semua pihak menjadi faktor penting dalam memastikan setiap inisiatif kebajikan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan.












