Dermasiswa Sultan Ismail Petra MAIK dibuka pada 1 Ogos hingga 31 Oktober - MAIK
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media MAIK
KOTA BHARU, 30 Julai – Permohonan Dermasiswa Sultan Ismail Petra (DSIP) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan dibuka mulai 1 Ogos hingga 31 Oktober 2026.
MAIK dalam satu kenyataan di media sosialnya semalam memaklumkan, calon yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian menerusi sistem eAgihan MAIK di pautan http://eagihan.e-maik.my/.
Menurut kenyataan itu, DSIP merupakan bantuan kewangan zakat (dermasiswa) yang disediakan bagi meringankan beban anak-anak asnaf di Kelantan yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara merangkumi pelbagai bidang yang bermanfaat.
"Bantuan dermasiswa ini adalah berdasarkan permohonan pada tahun semasa dan tertakluk kepada tempoh pengajian pelajar," menurut kenyataan itu, semalam.
Antara syarat umum permohonan ialah pemohon serta ibu bapa atau penjaga mestilah beragama Islam dan merupakan warganegara Malaysia berketurunan Kelantan yang lahir serta bermastautin tetap di negeri itu.
Selain itu, pemohon perlu terdiri daripada golongan asnaf yang layak menerima zakat dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan.
"Pemohon juga tidak boleh menerima tajaan pembiayaan, dermasiswa atau biasiswa daripada mana-mana pihak, kecuali Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bantuan kewangan atau pinjaman agensi Kerajaan Negeri Kelantan," menurut kenyataan tersebut.
MAIK turut menetapkan, permohonan hanya dibuka kepada pelajar sepenuh masa yang mengikuti pengajian sekurang-kurangnya di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda, manakala pelajar separuh masa, pengajian berelaun serta program sarjana, doktor falsafah (PhD) dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) tidak layak memohon.
"Bagi pelajar dalam negara, pemohon perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) minimum 3.00 atau keputusan lulus sekurang-kurangnya 75 peratus bagi institusi yang tidak menggunakan sistem PNGK.
"Mereka juga hendaklah sekurang-kurangnya berada pada semester kedua atau sesi pengajian tahun kedua dan ke atas," menurut MAIK lagi.
Kadar dermasiswa bagi pelajar dalam negara di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda ialah RM2,500.
Sementara itu, pelajar luar negara selain Timur Tengah perlu memperoleh PNGK minimum 3.00 atau keputusan lulus sekurang-kurangnya 75 peratus bagi institusi yang tidak menggunakan sistem PNGK, dengan kadar dermasiswa sebanyak RM5,000 bagi peringkat ijazah sarjana muda.
Bagi pelajar di Timur Tengah, syarat akademik ialah memperoleh keputusan Maqbul (lulus) dan layak meneruskan pengajian ke tahun berikutnya. Kadar dermasiswa bagi pelajar ijazah sarjana muda ditentukan mengikut keputusan akademik iaitu Mumtaz (RM10,000), Jayyid Jiddan (RM7,000), Jayyid (RM6,000) dan Maqbul (RM5,000).
MAIK memaklumkan permohonan akan ditolak dan tidak diproses sekiranya dokumen tidak lengkap melebihi tiga kali atau permohonan dihantar selepas tahun permohonan.
Menurut kenyataan MAIK itu lagi, pihaknya berhak menolak permohonan sekiranya terdapat unsur penipuan maklumat atau pemalsuan dokumen tanpa sebarang notis.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Tajaan Pendidikan MAIK di talian 09-7421519 atau melalui e-mel








