Mahasiswa perlu berani berfikir, luas membaca dan matang menilai -MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 29 Julai – Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud mengingatkan mahasiswa agar menjadi golongan yang berani berfikir, luas membaca dan matang menilai.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mahasiswa agar menjadi pengguna media sosial secara bijaksana demi melahirkan generasi yang mampu mencorakkan masa depan negara berteraskan ilmu, adab dan integriti.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi santai bersama Mahasiswa Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ikatan Universiti Islam Selangor dan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) Malaysia Cawangan Bangi, di sebuah restoren di Bangi, pada Selasa.
Menurutnya, dunia kampus bukan sekadar tempat mengejar segulung ijazah, sebaliknya merupakan medan terbaik untuk membina jati diri, memupuk kepimpinan dan memperkukuh jaringan ukhuwah sebagai bekalan menghadapi cabaran masa hadapan.
“Jadilah mahasiswa yang berani berfikir, luas membaca dan matang menilai. Jangan sekadar menjadi pengguna media sosial, tetapi jadilah generasi yang mampu mencorakkan masa depan negara dengan ilmu, adab dan integriti,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai itu membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman yang bermanfaat antara pemimpin negeri dengan golongan mahasiswa.
Katanya lagi, mahasiswa merupakan aset penting negeri dan negara yang perlu dipersiapkan dengan kecemerlangan akademik dan diperkasakan dengan nilai kepimpinan, sahsiah terpuji serta pemikiran kritis bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur dan semua mahasiswa yang hadir serta berharap mereka terus melakar kecemerlangan sebagai generasi pewaris yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.












