Vape dicampur dadah, ancam kesihatan - AADK Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 29 Julai - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tanggapan bahawa penggunaan vape lebih selamat kerana ia boleh mendatangkan pelbagai risiko terhadap kesihatan, terutama jika disalahgunakan.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan menerusi hantaran di media sosial semalam memaklumkan, keadaan kini semakin membimbangkan apabila terdapat penyalahgunaan vape dengan cecairnya dicampur dadah dan bahan terlarang.
Menurut AADK Negeri Kelantan, penyalahgunaan vape boleh mengakibatkan kerosakan otak, kerosakan paru-paru, gangguan jantung, kerosakan organ dalaman serta gangguan mental, selain menyebabkan ketagihan yang berlaku dengan sangat cepat.
Katanya, kesan penyalahgunaan vape menjejaskan kesihatan dan boleh mengubah masa depan seseorang dalam sekelip mata.
Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga disaran supaya sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak.
"Mereka juga perlu meluangkan masa untuk berbual, mendengar dan membimbing anak-anak agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan vape dan dadah," menurut hantaran itu.
AADK Negeri Kelantan turut mengingatkan bahawa kesihatan adalah aset paling berharga dan mengajak semua pihak bersama-sama mencegah penyalahgunaan vape demi melindungi generasi masa depan.







