10 nelayan darat DUN Mengkebang terima bantuan peralatan tangkapan ikan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KUALA KRAI, 29 Julai – Sejumlah 10 nelayan darat di DUN Mengkebang menerima bantuan peralatan menangkap ikan daripada Kerajaan Negeri bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh sumber pendapatan mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar berkata bantuan yang merangkumi bot fiber, enjin bot, pukat dan jaring itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasa sosioekonomi komuniti nelayan darat.
Menurutnya, penyediaan peralatan berkenaan diharap dapat membantu para penerima meningkatkan hasil tangkapan, sekali gus menambah pendapatan keluarga dan merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan sektor perikanan di kawasan setempat.
“Bantuan peralatan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini dapat membantu para nelayan menambah pendapatan mereka, menaik taraf sosioekonomi serta mengembangkan ekonomi setempat berkaitan sektor perikanan,” katanya dalam media sosial selepas menyampaikan bantuan tersebut, semalam.
Menurutnya, golongan nelayan darat memainkan peranan penting dalam membekalkan hasil perikanan air tawar kepada masyarakat meskipun berdepan pelbagai cabaran ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Tambahnya, mereka sentiasa berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu serta pelbagai risiko demi memastikan bekalan hasil sungai sentiasa mencukupi untuk dinikmati oleh masyarakat.
“Sebagai menghargai jasa nelayan darat, kita wajar menghormati pengorbanan mereka yang sanggup berdepan pelbagai cabaran dan risiko ketika mencari rezeki.
“Kecekalan mereka bukan sahaja menyumbang kepada sumber pendapatan keluarga, malah membantu memastikan bekalan hasil sungai terus tersedia untuk masyarakat,” jelasnya.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penerima bagi meningkatkan taraf hidup mereka, di samping memperkukuhkan pembangunan sektor perikanan darat sebagai antara penyumbang kepada ekonomi komuniti di DUN Mengkebang.










