Kelantan sokong agenda AI negara lahir bakat digital generasi masa depan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 29 Julai – Kelantan menyokong aspirasi nasional dalam memperkasa pembangunan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) sebagai pemacu utama transformasi digital negara, khususnya dalam melahirkan bakat digital yang berdaya saing serta memperkukuh ekosistem pendidikan dan inovasi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata pelaksanaan AI Malaysia 2026 membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membentuk hala tuju strategik kecerdasan buatan yang mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi digital negara.
Menurutnya, usaha tersebut turut membuka ruang lebih luas kepada institusi pendidikan, agensi kerajaan, industri dan syarikat teknologi untuk menjalinkan kerjasama dalam memperkasa pembangunan bakat digital serta inovasi berteraskan AI.
“Pembangunan kecerdasan buatan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dan ekonomi digital.
“Justeru, pembangunan modal insan yang mahir dalam teknologi digital dan AI perlu terus diperkasakan agar negara memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya dalam media sosial selepas menghadiri Majlis Peluncuran AI Malaysia 2026 di Menara Cyber Axis, Cyberjaya, semalam.
Majlis peluncuran anjuran Kementerian Digital telah disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memperkenalkan aspirasi serta hala tuju strategik kecerdasan buatan negara dalam memperkukuh transformasi digital Malaysia.
Menurutnya, penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI yang mampan menerusi kerjasama pelbagai pihak, sekali gus memperkukuh daya saing negara di peringkat serantau.
Beliau berkata, program berkenaan turut menampilkan Pameran AI Nation yang menghimpunkan penyertaan agensi kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan, syarikat teknologi dan rakan strategik bagi mempamerkan pelbagai inisiatif, inovasi serta aplikasi AI merentasi pelbagai sektor.
Menurutnya, pameran tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik, perkongsian pengetahuan serta pembangunan ekosistem AI negara yang lebih menyeluruh.
“Pendekatan yang menghimpunkan kerajaan, institusi pendidikan dan industri dalam satu platform seperti ini amat penting bagi mempercepatkan pembangunan teknologi, memperluaskan inovasi serta melahirkan lebih ramai bakat digital yang kompetitif.
“Semoga segala usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat digital, peningkatan inovasi serta pertumbuhan ekonomi digital negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju kecerdasan buatan di rantau ini,” jelasnya.










