Pindaan Akta Persaingan: Pelaksanaan perlu menyeluruh, kepentingan pengguna dan PKS dipelihara – Dr Wan Martina
Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Pindaan terhadap Akta Persaingan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kepentingan pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus terpelihara, selain mewujudkan ekosistem pasaran yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 merupakan langkah yang wajar disokong kerana ia memperkukuh fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), namun pelaksanaannya mestilah disertai garis panduan yang jelas agar tidak menimbulkan ketidakpastian kepada pemain industri, khususnya PKS.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, semalam.
Menurutnya, persaingan yang adil mampu memenuhi tuntutan ekonomi dan selari dengan prinsip keadilan dalam Islam yang menolak amalan penindasan, penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pasaran.
"Persaingan yang adil bukan sekadar memenuhi tuntutan ekonomi, malah selari dengan prinsip keadilan dalam Islam yang menolak penindasan, penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam pasaran. Sebab itu, setiap pindaan undang-undang mesti benar-benar melindungi pengguna dan peniaga yang berintegriti," katanya.
Dr Wan Martina turut mencadangkan supaya kerajaan mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas berhubung peluasan skop pemakaian akta daripada "aktiviti komersial" kepada "aktiviti komersial atau ekonomi" bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan koperasi, institusi berasaskan agama, badan kebajikan dan PKS.
Tambahnya, kejelasan pelaksanaan amat penting supaya entiti yang menjalankan aktiviti ekonomi berskala kecil tidak dibebankan dengan keperluan pematuhan yang tidak munasabah.
Beliau turut membangkitkan keperluan penjelasan berhubung pelaksanaan kuasa MyCC terhadap entiti kerajaan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, selain menggesa mekanisme penyelesaian pertikaian diperincikan bagi mengelakkan konflik dalam pelaksanaan dasar.
Selain itu, beliau mencadangkan MyCC menyediakan garis panduan baharu berkaitan pelaksanaan peruntukan mengenai perjanjian persaingan, mekanisme penyelesaian, rejim kelonggaran serta perlindungan pemberi maklumat bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara konsisten dan telus.
"Pindaan Akta Persaingan perlu disokong dengan garis panduan yang jelas supaya perusahaan kecil dan sederhana, koperasi serta institusi berasaskan masyarakat tidak dibebankan oleh ketidakpastian pelaksanaan undang-undang," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta kerajaan menjelaskan implikasi kewangan pelaksanaan pindaan tersebut termasuk keperluan tambahan dari segi tenaga kerja, latihan dan peruntukan kepada MyCC bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Ahli Dewan Negara itu menegaskan, kejayaan sesuatu undang-undang bukan hanya bergantung kepada kandungan pindaannya, tetapi turut ditentukan oleh kejelasan pelaksanaan yang mampu menjamin keadilan kepada semua pihak.








