Accessibility Tools

Skip to main content

Bantuan kebajikan kerajaan negeri manfaatkan 29 penerima DUN Guchil

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KUALA KRAI, 28 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat apabila sebanyak 29 penerima di DUN Guchil menerima pelbagai bentuk bantuan menerusi Majlis Penyampaian Kita Cakna yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Guchil, semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil, YB Hilmi Abdullah.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai skim kebajikan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, setiap bantuan yang disalurkan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan penerima, malah menjadi bukti bahawa kerajaan negeri sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.

“Nilai bantuan ini mungkin tidak mampu menghapuskan seluruh kesusahan yang dihadapi, namun ia membawa mesej bahawa kerajaan sentiasa bersama rakyat, berkongsi rasa, menghulurkan bantuan dan tidak pernah melupakan mereka yang sedang diuji,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya semalam.

Pada majlis tersebut, seramai tujuh penerima menerima Bantuan Pesakit Kronik, manakala 10 lagi menerima Skim Manfaat Armalah (SMA) dan Skim Khairat Armalah (SKA), sementara 12 penerima menerima Manfaat Kifaalah Kerajaan Negeri.

YB Hilmi berkata, Manfaat Kifaalah Kerajaan Negeri menyediakan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada wasi ahli Kifaalah yang meninggal dunia selepas berdaftar sebagai ahli Kifaalah dengan kerajaan negeri dan berumur 55 tahun ke atas.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat Kelantan yang telah mencapai umur 55 tahun supaya segera mendaftarkan diri sebagai ahli Kifaalah bagi membolehkan waris mereka menikmati manfaat skim berkenaan.

Menurutnya, Skim Manfaat Armalah pula diwujudkan bagi membantu isteri yang kematian suami sebelum suami mencapai usia 55 tahun, manakala Skim Khairat Armalah disediakan kepada suami yang kematian isteri sebelum isteri mencapai usia sama.

Katanya, kadar bantuan bagi kedua-dua skim itu diberikan mengikut bilangan anak yang ditinggalkan, dengan keluarga yang mempunyai lebih daripada tiga orang anak berpeluang menerima bantuan sehingga RM1,000.

Beliau berkata, Bantuan Pesakit Kronik yang disalurkan secara sekali bayar pula merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat yang berdepan penyakit kronik, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka dalam mendapatkan rawatan dan keperluan harian.

Tambahnya, agenda kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bukan sekadar menyalurkan bantuan kewangan, malah bertujuan memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima perhatian dan pembelaan ketika berdepan saat-saat sukar.

Beliau berharap setiap bantuan yang disampaikan mampu memberikan sedikit kelegaan kepada para penerima serta menjadi pemangkin untuk mereka terus tabah dan cekal menghadapi ujian kehidupan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan selaras dengan prinsip Membangun Bersama Islam dan aspirasi Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera,” katanya.

Pautan berjaya disalin!