Accessibility Tools

Skip to main content

Wakaf perlu diperkasa sebagai instrumen pembangunan ummah mampan – Dato' Ahmad Yakob

Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Wakaf perlu terus diperkasa sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan kerana berupaya menyumbang kepada pengukuhan institusi Islam, kebajikan masyarakat serta pembangunan sosioekonomi umat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan, YB Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad Yakob berkata demikian selepas menghadiri Pra-Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 dan program Malam Mufti Bermuzakarah yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur pada 26 Julai lalu.

Menurutnya, program tersebut menghimpunkan para mufti, ilmuwan, ahli akademik serta pemimpin institusi Islam bagi membincangkan usaha memperkukuh agenda wakaf, zakat dan dakwah sebagai instrumen pembangunan ummah yang mampan.

"Program seperti ini menjadi wadah penting untuk menyatukan fikrah dan berkongsi pandangan dalam usaha memperkasa pembangunan Islam serta kebajikan ummah.

"Pengukuhan institusi wakaf dan dakwah memerlukan kerjasama semua pihak agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas oleh masyarakat," katanya menerusi hantaran di laman rasmi semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.

Katanya, penganjuran program itu membuktikan komitmen pelbagai institusi Islam dalam memperkukuh agenda wakaf, zakat dan dakwah melalui perkongsian ilmu serta pengalaman.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan ucaptama perasmian oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Marhamah Rosli yang menekankan kepentingan memperkukuh institusi wakaf dan dakwah dalam mendepani cabaran semasa.

Dato' Ahmad berharap segala resolusi yang dirumuskan sepanjang program tersebut dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh institusi wakaf dan dakwah, sekali gus membawa manfaat kepada umat Islam di Malaysia serta masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.

Pautan berjaya disalin!