1,060 armalah DUN Gaal terima manfaat, kebajikan rakyat terus jadi keutamaan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR PUTEH , 28 Julai – Sejumlah 1,060 orang daripada golongan armalah di DUN Gaal menerima manfaat menerusi Program Himpunan Armalah DUN Gaal 2026 sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh agenda kebajikan rakyat yang berlangsung di Dewan Sri Gaal pada 23 Julai lalu.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 200 orang hadir pada hari pertama program bagi menerima bantuan serta mengikuti pengisian yang memberi penekanan terhadap aspek pengurusan kewangan dan kesejahteraan keluarga.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal, YB Mohd Rodzi Jaafar berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan golongan armalah melalui pelbagai skim dan inisiatif yang dirangka bagi membantu meringankan beban kehidupan mereka.
Menurutnya, bantuan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan tersebut terus dibela serta mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup.
“Program ini membuktikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan kerajaan negeri. Golongan armalah perlu terus disantuni dan dibantu bukan sahaja melalui sumbangan, malah dengan ilmu serta bimbingan yang mampu memperkukuhkan pengurusan kehidupan dan kewangan mereka.
“Kita berharap segala inisiatif yang dilaksanakan ini dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada para penerima, sekali gus memperkukuhkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media rasminya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Program Himpunan Armalah DUN Gaal 2026 pada 23 Julai lalu.
Sebelum majlis penyampaian bantuan, para peserta mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh wakil Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kota Bharu bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan berhemah, perancangan masa depan serta kaedah mengurus komitmen kewangan secara lebih sistematik.
Program itu turut membuka ruang kepada peserta mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan pengurusan kewangan bagi membantu mereka merancang kehidupan dengan lebih teratur serta meningkatkan kestabilan ekonomi keluarga.












