Pastikan perawat alternatif berdaftar dan diiktiraf, orang ramai diingatkan patuhi Akta 775
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 28 Julai – Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat perawat alternatif diingatkan supaya memastikan perawat yang dipilih telah berdaftar serta diiktiraf oleh pihak berkuasa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, di Malaysia, pelaksanaan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) menetapkan bahawa pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf, termasuk amalan Perawat Islam, diwajibkan berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, katanya, pengamal juga perlu memiliki Sijil Amalan sebelum boleh menawarkan perkhidmatan rawatan kepada orang awam.
"Mengamal tanpa pendaftaran apabila pendaftaran diwajibkan merupakan satu kesalahan di bawah Akta 775," katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurutnya, individu yang didapati mengamal tanpa berdaftar boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan khidmat perawatan alternatif hanya daripada pengamal yang telah berdaftar dan diiktiraf mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan perkhidmatan yang diterima mematuhi keperluan yang ditetapkan.








