Accessibility Tools

Skip to main content

Politik Islam bermula dengan pembinaan insan, bukan perebutan kuasa – Dato' Mohd Amar

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Mohd Amar

KOTA DARULNAIM, 28 Julai – Politik Islam tidak bermula di medan pilihan raya atau apabila seseorang memegang tampuk pemerintahan, sebaliknya bermula dengan pembinaan insan yang mengenal Allah SWT melalui ilmu, akidah, akhlak dan amanah.

Speaker Dewan Negeri Kelantan, YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, asas tersebut menjadi tunjang kepada pembentukan pemimpin yang adil, pentadbir yang amanah serta masyarakat yang mampu menegakkan keadilan.

"Politik Islam tidak bermula di medan pilihan raya atau apabila seseorang memegang tampuk pemerintahan.

"Politik Islam bermula ketika manusia dididik mengenal Allah SWT melalui ilmu, kemudian membina akidah, akhlak dan amanah dalam dirinya," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya semalam.

Beliau berkata, perintah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Surah al-'Alaq membawa mesej yang amat besar kepada manusia apabila Allah SWT memerintahkan supaya manusia membaca dengan nama Tuhan yang menciptakan seluruh alam.

Menurutnya, susunan tersebut menunjukkan bahawa Islam tidak pernah memisahkan ilmu daripada wahyu kerana ilmu yang benar ialah ilmu yang mendekatkan manusia kepada Penciptanya.

"Semakin luas pengetahuan seseorang, semakin bertambah rasa kehambaan dan tanggungjawabnya kepada Allah SWT," katanya.

Dato' Mohd Amar  berkata, kemajuan teknologi termasuk perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) merupakan nikmat Allah SWT yang perlu dimanfaatkan ke arah kebaikan. Namun, tanpa bimbingan agama, ilmu dan kepakaran boleh disalahgunakan sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat.

Beliau berkata, sejarah membuktikan teknologi yang dicipta untuk memudahkan kehidupan turut digunakan bagi melakukan penipuan, pecah amanah, penyebaran fitnah dan pelbagai bentuk jenayah yang semakin sukar dikesan.

Mengambil contoh penyelewengan dalam sektor perbankan pada awal era penggunaan komputer di Malaysia, beliau berkata kepakaran yang tinggi tanpa panduan iman akhirnya membawa kepada pengkhianatan amanah.

"Yang gagal bukan ilmunya. Yang gagal ialah nilai yang membimbing ilmu tersebut. Kepakaran yang sepatutnya menjadi manfaat kepada masyarakat akhirnya digunakan untuk mengkhianati amanah dan mengambil harta orang lain," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa para ulama terdahulu menyusun sistem pendidikan umat dengan mengutamakan pembinaan akidah sebelum syariat, fiqh dan adab agar lahir generasi yang bukan sahaja berilmu, malah memahami tanggungjawab menggunakan ilmu di jalan yang diredai Allah SWT.

Tambahnya, ilmu yang sebenar bukan sekadar diukur melalui banyaknya maklumat yang dihafal atau tingginya kelulusan akademik, tetapi melalui keupayaannya membentuk insan yang amanah, ikhlas, tawaduk dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

"Daripada manusia yang berilmu, beriman dan berakhlak lahirlah pemimpin yang adil, pentadbir yang amanah serta masyarakat yang mampu menegakkan keadilan. Tanpa asas ini, kuasa hanya menjadi alat yang mengulangi pelbagai kerosakan yang telah banyak dirakamkan sepanjang sejarah," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!