Accessibility Tools

Skip to main content

Kayuhan Klasik Pesisir Pantai Bachok himpun lebih 150 peminat basikal tua

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media YB Huzaimy dan Tourism Kelantan

BACHOK, 28 Julai - Lebih 150 peminat basikal tua dari dalam dan luar Kelantan menyertai Program Kayuhan Klasik Pesisir Pantai Bachok 2026 yang bermula di Pantai Kemasin, di sini, pada 25 Julai.

Program anjuran Persatuan Basikal Tua Kelantan dengan kerjasama Tourism Kelantan tersebut menarik penyertaan peserta dari Pulau Pinang, Terengganu, Kedah, Johor dan Melaka, sekali gus menyemarakkan semangat persaudaraan serta mempromosikan keunikan pelancongan negeri ini.

Peserta kayuhan dilepaskan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin yang mewakili Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor.

YB Mohd Huzaimy yang turut mengayuh basikal klasik bersama peserta merakamkan penghargaan kepada penganjur kerana memilih Pantai Impian Kemasin sebagai lokasi penganjuran program itu.

"Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur yang memilih Pantai Impian Kemasin sebagai tuan rumah," katanya menerusi media sosial, pada Ahad.

Sementara itu, Tourism Kelantan dalam hantaran di laman sosial menyatakan, sepanjang kayuhan, peserta singgah di lima lokasi iaitu Wat Kampung Balai, Pantai Irama, IKS Pembuat Keropok, Pantai Tapang dan Pantai Impian.

"Setiap hentian memperkenalkan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta produk tempatan yang menjadi kebanggaan Kelantan.

"Sebaik menamatkan kayuhan, peserta diraikan dengan jamuan makan tengah hari sebelum menyertai sukaneka rakyat dan cabutan bertuah," katanya.

Tambahnya, program itu terbukti menghidupkan semula nostalgia basikal klasik dan menjadi platform mempromosikan Bachok sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam, budaya dan komuniti.

Pautan berjaya disalin!