Accessibility Tools

Skip to main content

Bantuan pesakit kronik ringankan beban 45 penerima di DUN Temangan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 28 JULAI – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat apabila sebanyak 45 penerima di DUN Temangan menerima Bantuan Pesakit Kronik dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Temangan, pada Sabtu.

Ahli Dewan Negeri (ADN ) Temangan merangkap Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata, bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban penerima, khususnya dalam menampung kos rawatan dan perubatan yang perlu ditanggung sepanjang menjalani proses pemulihan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus diberi perhatian, terutama mereka yang berdepan cabaran akibat penyakit kronik," katanya dalam media sosial, semalam.

Selain itu, beliau berharap bantuan yang diterima dapat menjadi pemangkin semangat kepada para penerima untuk terus tabah menghadapi ujian, di samping terus berusaha mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua penerima dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan serta sentiasa berada dalam rahmat dan kesejahteraan Allah SWT.

Penyaluran bantuan tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkasa agenda kebajikan rakyat melalui penyampaian bantuan yang bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Pautan berjaya disalin!