Pasar Besar Machang baharu kini dibuka
Oleh: Irham Hilmi Hashim
MACHANG, 27 Julai – Pasar Besar Machang baharu di Bandar Seri Mentara kini dibuka dan mula beroperasi sebagai pusat perniagaan baharu yang menyediakan kemudahan lebih selesa, bersih serta tersusun kepada peniaga dan penduduk sekitar.
Perkara itu dimaklumkan Majlis Daerah Machang (MDM) menerusi media rasminya pada 23 Julai.
Menurut kenyataan itu, Pasar Besar Machang baharu menawarkan persekitaran yang lebih luas dan kondusif sekali gus memberi kemudahan lebih baik kepada para peniaga untuk menjalankan urusan perniagaan mereka.
Selain itu, kemudahan berkenaan turut memberi pengalaman beli-belah yang lebih baik kepada orang ramai menerusi suasana pasar yang lebih bersih, teratur dan selesa.
Dalam pada itu, para peniaga dari Pasar Besar Bandar Machang kini telah berpindah dan beroperasi di lokasi baharu berkenaan dengan sokongan serta bantuan daripada MDM bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Sehubungan itu, MDM menyeru seluruh warga Machang dan kawasan sekitarnya supaya mengunjungi Pasar Besar Machang di lokasi terkini bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian yang segar dan berkualiti, di samping menyokong perkembangan peniaga tempatan.
Pembukaan pusat aktiviti ekonomi itu mencerminkan usaha berterusan dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih baik kepada masyarakat melalui penyediaan ruang perniagaan yang lebih moden, selesa dan kondusif untuk kegunaan peniaga serta pengunjung.












