Hasil jualan Ekspo Tani Kelantan 2026 catat RM546,738.39, lepasi sasaran
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 27 Julai – Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 mencatat hasil jualan keseluruhan sebanyak RM546,738.39, sekali gus melepasi sasaran jualan RM500,000 sepanjang empat hari penganjurannya di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV.
Berdasarkan laporan rasmi Jawatankuasa Promosi dan Publisiti Ekspo Tani Kelantan 2026, pencapaian tersebut membuktikan sambutan memberangsangkan daripada pengunjung terhadap ekspo yang menghimpunkan pelbagai produk dan usahawan sektor pertanian, agromakanan serta komoditi negeri.
Laporan itu menunjukkan jualan pada hari pertama, 22 Julai berjumlah RM83,880.40, diikuti RM56,027.84 pada hari kedua. Jualan memuncak pada hari ketiga dengan nilai RM317,742.05 sebelum merekodkan RM89,088.10 pada hari terakhir.
Secara keseluruhan, jumlah jualan sepanjang 22 hingga 25 Julai mencapai RM546,738.39, sekali gus melepasi sasaran setengah juta ringgit yang ditetapkan penganjur.
Sehubungan itu, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua peserta pameran, usahawan, agensi kerajaan, rakan strategik dan pengunjung yang menjayakan Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026.
Menurut penganjur, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap potensi sektor pertanian negeri serta kejayaan penganjuran ekspo yang membawa tema "Bertani Satu Ibadah: Transformasi Tani Perkasa Hasil Berkualiti."
Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 berlangsung dari 22 hingga 25 Julai dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, manakala majlis penutup disempurnakan oleh Exco Pertanian Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Sebagai kesinambungan usaha memperkukuh sektor agromakanan negeri, program Road to MAHA akan berlangsung di Mydin Tunjong pada 6 hingga 8 Ogos sebagai persediaan penyertaan Kelantan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS Serdang Selangor dari 28 Ogos hingga 6 September ini.









