Sekolah mesti kekal ruang paling selamat bentuk sahsiah, masa depan murid – Dato' Mohd Amar
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 27 Julai – Institusi sekolah perlu kekal menjadi tempat paling selamat untuk membentuk sahsiah dan masa depan generasi muda, susulan beberapa insiden membabitkan murid yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.
Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, kejadian seperti tikaman, ancaman menggunakan senjata, pergaduhan, buli dan murid terjatuh dari bangunan sekolah telah menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap aspek keselamatan serta kesejahteraan anak-anak di sekolah.
Menurutnya, setiap kejadian mempunyai latar belakang dan keadaan yang berbeza, malah sebahagiannya masih dalam siasatan pihak berkuasa, justeru ia tidak wajar dijadikan asas untuk membuat kesimpulan bahawa semua berpunca daripada kelemahan yang sama.
"Perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan. Walaupun setiap kejadian mempunyai latar belakang dan keadaan yang berbeza, hal ini sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak untuk memperkukuh perlindungan terhadap murid secara menyeluruh," katanya di laman rasmi, pada 21 Julai.
Beliau berkata, sekolah berperanan sebagai tempat menimba ilmu dan menjadi institusi penting dalam membentuk jati diri dan masa hadapan anak-anak.
"Sekolah mestilah menjadi antara tempat paling selamat untuk pembentukan diri dan masa hadapan anak-anak. Kepercayaan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah perlu dipelihara dengan memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan," jelasnya.
Dato' Mohd Amar berkata, sudah tiba masanya keberkesanan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dinilai secara objektif selepas hampir empat dekad diperkenalkan bagi memastikan matlamat asalnya benar-benar diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara.
"Kejayaan pendidikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga keupayaannya melahirkan insan yang berilmu, beradab dan berintegriti," ujarnya.
Beliau berharap semua pihak termasuk kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dapat berganding bahu memastikan institusi pendidikan terus menjadi persekitaran yang selamat, kondusif serta mampu melahirkan generasi berakhlak mulia, berintegriti dan seimbang dari segi ilmu serta sahsiah.








