Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Mas, YB Dato' Rohani Ibrahim


Pelajar TRSK perlu jadi duta kebaikan dalam masyarakat - Dato' Rohani

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 27 Julai – Peserta Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan (TRSK) 2026 DUN Tanjong Mas perlu menjadi duta kebaikan dalam masyarakat dengan menampilkan sahsiah terpuji serta memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kebaikan bersama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Mas YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, pelajar perlu memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan membentuk peribadi yang berteraskan nilai agama dan akhlak mulia.

Menurutnya, setiap pelajar perlu mengingati empat perkara utama dalam kehidupan iaitu pahala, dosa, syurga dan neraka sebagai panduan dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.

"Belajarlah bukan untuk diri sendiri sahaja. Sebarkan ilmu yang kita miliki supaya memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi pahala yang berterusan," katanya di laman rasmi, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan (TRSK) 2026 bagi DUN Tanjong Mas di Maahad Muhammadi Lelaki, pada Ahad.

Beliau turut menasihati para pelajar supaya sentiasa berbakti kepada ibu bapa kerana keredaan mereka merupakan antara kunci kejayaan dalam kehidupan.

Dato' Rohani berkata, apabila melangkah keluar dari pintu pagar sekolah, setiap pelajar perlu menjadi contoh terbaik dan membawa imej yang baik kepada keluarga, sekolah serta masyarakat.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan mendoakan agar semua peserta TRSK dipermudah segala urusan, dikurniakan kejayaan dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pelajar supaya terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, menjaga solat serta tidak mudah berputus asa kerana kejayaan menuntut kesungguhan, doa dan tawakal.

Pautan berjaya disalin!