Accessibility Tools

Skip to main content

171 anak DUN Tawang terima sumbangan galakan ke IPT

Oleh: Irham Hilmi Hashim

BACHOK, 27 Julai – Sebanyak 171 anak DUN Tawang yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan sebagai galakan meneruskan kecemerlangan akademik dalam Majlis Penyampaian Sumbangan IPT Peringkat DUN Tawang yang diadakan pada 23 Julai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail berkata sumbangan itu merupakan tanda penghargaan dan sokongan kepada anak-anak Tawang yang berjaya melangkah ke menara gading sekali gus diharap dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan awal pengajian.

Menurutnya, pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan aset paling berharga dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, sebanyak 171 anak DUN Tawang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi pada tahun ini. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat ibu bapa dan seluruh masyarakat di DUN Tawang.

“Gunakanlah peluang yang diperoleh ini sebaik mungkin dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian agar pulang nanti sebagai insan yang berilmu serta mampu berbakti kepada agama, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial rasmi selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT.

Menurutnya, sebahagian besar penerima diwakili oleh ibu bapa masing-masing memandangkan pelajar terbabit telah berada di kampus untuk memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.

Beliau menyifatkan kejayaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi membanggakan keluarga dan menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

“Semoga anak-anak DUN Tawang terus istiqamah menuntut ilmu, memanfaatkan setiap peluang yang ada dan kembali menyumbang kepakaran kepada masyarakat apabila menamatkan pengajian kelak,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!