Accessibility Tools

Skip to main content

Pesta Flora Kelantan 2026 dijangka jadi pemangkin industri florikultur dan pelancongan negeri

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARUL NAIM, 27 Julai – Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 dijangka menjadi platform strategik dalam merancakkan industri florikultur, landskap dan pelancongan negeri sempena sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V ke-57 Tahun.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri YB Dato’  Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata penganjuran pesta itu bertujuan mempromosikan industri florikultur tempatan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi penglibatan usahawan, agensi kerajaan dan komuniti.

Menurutnya, pelbagai aspek diberi perhatian bagi memastikan penganjuran kali ini berlangsung dengan lebih tersusun, berimpak tinggi dan mampu menarik penyertaan pengunjung dari dalam serta luar Kelantan.

“Pesta Flora Negeri Kelantan bukan sekadar pameran bunga dan landskap tetapi merupakan platform untuk memperkenalkan potensi industri florikultur sebagai salah satu sektor yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Kita mahu penganjuran tahun ini memberi nilai tambah kepada usahawan tempatan, meningkatkan tarikan pelancongan serta menggalakkan minat masyarakat terhadap landskap dan penghijauan,” katanya menerusi media sosial, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Flora Negeri Kelantan  di Bilik Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan, pada Ahad.

Tambahnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan pengisian program, penyertaan 39 agensi kerajaan dan usahawan, strategi promosi, penyediaan tapak serta aspek logistik bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Kerjasama erat antara semua agensi dan pihak berkepentingan amat penting dalam menjayakan penganjuran pesta tersebut agar objektif memperkasakan industri florikultur negeri dapat direalisasikan.

“Komitmen semua pihak diperlukan bagi memastikan Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 menjadi antara acara utama negeri yang mampu memberi manfaat kepada sektor pertanian, pelancongan dan ekonomi rakyat,” jelasnya.

Beliau berharap penganjuran Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 akan terus mengangkat imej Kelantan sebagai negeri yang kaya dengan landskap hijau, biodiversiti dan produk florikultur, di samping membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha tempatan untuk memasarkan hasil serta mengembangkan jaringan perniagaan mereka.

Pautan berjaya disalin!