46 penerima manfaat Skim Cakna Hawa, Gerbang Az-Ziwaaj di DUN Pengkalan Kubor
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Sejumlah 46 penerima menerima manfaat menerusi pelaksanaan Skim Cakna Hawa 2026 dan Skim Gerbang Az-Ziwaaj Kerajaan Negeri Kelantan.
Jumlah tersebut melibatkan 30 penerima Skim Cakna Hawa 2026 serta 16 pasangan pengantin baharu menerusi Skim Gerbang Az-Ziwaaj, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluas manfaat kebajikan kepada rakyat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor merangkap Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata penyampaian kedua-dua skim berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan ibu serta pasangan yang baru membina kehidupan berkeluarga.
Menurutnya, Skim Cakna Hawa diwujudkan bagi menghargai sumbangan golongan ibu yang bekerja, khususnya mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban serta memberi manfaat kepada keluarga yang memerlukan.
“Golongan ibu merupakan antara tonggak penting dalam pembentukan keluarga yang sejahtera dan bantuan seperti ini menjadi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mereka,” katanya menerusi media rasmi selepas menyempurnakan penyampaian skim berkenaan di Dewan Pusat Khidmat DUN Pengkalan Kubor pada 23 Julai.
Menurutnya, Skim Gerbang Az-Ziwaaj pula menjadi inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sebagai persediaan awal membina keluarga yang lebih kukuh dan harmoni.
"Perhatian terhadap institusi keluarga amat penting kerana keluarga yang sejahtera menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang stabil dan berdaya tahan.
“Semoga semua penerima mendapat manfaat daripada bantuan yang disalurkan ini dan ia menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.












