Accessibility Tools

Skip to main content

Liga Elit, Liga Veteran DUN Kemahang platform lahir bakat bola sepak akar umbi

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Penganjuran Liga Elit dan Liga Veteran DUN Kemahang 2026 menjadi platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi, di samping membentuk generasi pemain yang berdisiplin serta memperkukuh semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata Liga Elit DUN merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan bagi memberi ruang kepada anak-anak muda mengembangkan potensi dalam sukan bola sepak, selain menggalakkan mereka mengisi masa dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Kejohanan Liga Elit dan Liga Veteran DUN Kemahang 2026 serta menyempurnakan penyerahan jersi kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, pada Jumaat.

Menurutnya, penyerahan jersi kepada pasukan Liga Veteran sebelum ini tertangguh berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, namun akhirnya berjaya direalisasikan bagi melengkapkan persiapan semua pasukan menghadapi kejohanan musim ini.

"Alhamdulillah, semua pasukan kini bersedia mengharungi kejohanan dengan penuh semangat dan komitmen," katanya di laman rasmi, semalam.

Dato' Md Anizam memaklumkan, penganjuran Liga Veteran oleh Pejabat Pusat DUN Kemahang pula merupakan tanda penghargaan kepada pemain-pemain veteran yang masih aktif menyumbang kepada pembangunan bola sepak di kawasan berkenaan.

Tambahnya, pengalaman luas serta semangat tinggi yang dipamerkan pemain veteran diharap menjadi teladan kepada pemain Liga Elit, khususnya dalam aspek disiplin, semangat kesukanan dan saling menghormati di dalam serta di luar padang.

Beliau berharap kejohanan yang berlangsung sepanjang musim itu mampu mencapai matlamat melahirkan lebih ramai bakat tempatan, mengeratkan silaturahim masyarakat serta memperkukuhkan budaya sukan sihat dalam kalangan penduduk DUN Kemahang.

"Semoga Liga Elit dan Liga Veteran DUN Kemahang 2026 menjadi medan melahirkan pemain berkualiti yang mampu mengharumkan nama DUN Kemahang dan Negeri Kelantan pada masa hadapan," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!