Accessibility Tools

Skip to main content

'Shariah Life' bimbing belia seimbang dunia digital dan tuntutan agama

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Pendekatan Shariah Life terus diperkasakan sebagai medium membimbing generasi muda agar mampu menyeimbangkan perkembangan dunia digital dengan tuntutan agama, sekali gus melahirkan belia yang berakhlak, berdisiplin dan berpegang teguh kepada syariat Islam.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata pendekatan tersebut membuktikan aktiviti yang menjadi minat golongan belia termasuk e-sukan boleh dimanfaatkan sebagai platform dakwah sekiranya dipandu dengan nilai-nilai Islam.

Menurutnya, golongan belia bebas berhibur dan mengikuti perkembangan teknologi semasa namun tanggungjawab terhadap agama tidak boleh diketepikan.

“Anak-anak muda hendaklah sentiasa menjaga solat, mengurus masa belajar dengan berdisiplin, menghormati ibu bapa dan guru serta berakhlak baik dengan semua orang.

“Kita ingin bermain, berhibur dan bersuka ria, silakan asalkan selari dengan tuntutan syariah. Main, main juga, akhirat jangan lupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Program Jelajah Shariah Life: Techno Daie – Pertandingan E-Sport Mobile Legend Belia Jajahan Tumpat Siri 3/2026 di Dewan Masjid SBJ Putra Pasir Pekan, Tumpat, semalam.

Menurutnya, pendekatan Shariah Life yang diterapkan Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah dan kefahaman agama melalui kaedah yang lebih dekat dengan jiwa serta minat generasi muda.

"Dakwah pada hari ini perlu disampaikan secara kreatif dan bersesuaian dengan perubahan zaman supaya mesej Islam dapat diterima dengan lebih berkesan tanpa mengabaikan prinsip syariah.

“Program seperti ini menjadi wadah membentuk jati diri belia agar celik teknologi, berakhlak mulia dan sentiasa meletakkan syariat sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Dakwah JAHEAIK, Pejabat Agama Jajahan Tumpat dan Masjid SBJ Putra atas komitmen menganjurkan program yang menggabungkan elemen teknologi, dakwah dan pembangunan belia.

Beliau berharap usaha seumpama itu diperluaskan sebagai sebahagian daripada agenda melahirkan generasi digital yang mahir teknologi dan memiliki pegangan agama yang kukuh dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat.

Pautan berjaya disalin!