Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Rakyat diseru bangunkan tanah terbiar, perkasa sektor pertanian Kelantan

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 26 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan menyeru rakyat memanfaatkan tanah terbiar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian bagi memperkukuh pengeluaran makanan dan merealisasikan hasrat menjadikan negeri itu sebagai jelapang makanan negara.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat, kerajaan dan jabatan teknikal bagi memastikan tanah yang masih belum diusahakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kerajaan negeri menyeru rakyat supaya bersama-sama menggerakkan masyarakat mengambil peluang yang ada dan memanfaatkan sektor pertanian di tempat masing-masing.

"Kalau masih ada tanah-tanah terbiar yang boleh dibangunkan, ayuh kita bangunkan. Kita bincang dengan kerajaan dan jabatan teknikal bagaimana cara untuk membangunkan tanah-tanah yang masih ada, kurniaan Allah Taala kepada kita.

"Insya Allah saya yakin masa depan sektor pertanian khususnya di Kelantan mampu menjadikan negeri ini sebagai jelapang makanan kepada negara."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Tani Kelantan 2026 yang bertemakan 'Bertani Satu Ibadah: Transformasi Tani Perkasa Hasil Berkualiti', di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, pada Sabtu.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa Negeri Kelantan mampu terus berdaya saing dalam sektor pertanian sekiranya semua pihak termasuk petani, penternak, nelayan dan usahawan agro berganding bahu serta berani meneroka teknologi dan bidang baharu.

Katanya, pelbagai agensi kerajaan turut menyediakan sokongan kepada pemain industri termasuk FAMA dalam aspek pemasaran dan MARDI menerusi penyelidikan, selain bantuan daripada jabatan berkaitan bagi melahirkan lebih ramai usahawan serta petani yang berjaya.

Mengulas tema Ekspo Tani Kelantan 2026, 'Bertani Satu Ibadah: Transformasi Tani Perkasa Hasil Berkualiti', beliau berkata tema tersebut membawa objektif untuk menggalakkan penghasilan produk dan hasil pertanian yang berkualiti.

Dalam perkembangan sama, beliau mempelawa seluruh rakyat Kelantan menghadiri program Road to MAHA 2026 yang akan berlangsung di Mydin Tunjong, Kota Bharu, dari 6 hingga 8 Ogos depan dan diurusetiakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Ujarnya lagi, Kelantan seterusnya akan membawa nama negeri ke pentas nasional menerusi penyertaan pada MAHA 2026 di MAEPS Serdang yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September depan.

"Kalau berkunjung ke MAHA Serdang nanti jangan lupa singgah ke Pavilion Negeri Kelantan. Kita ada pelbagai pengisian setiap hari termasuk persembahan kesenian, pertandingan dan pameran produk tempatan terpilih bagi memberi peluang kepada pengunjung dari pelbagai negeri serta negara menikmati hasil usahawan kita," katanya.

Beliau berharap kedua-dua program itu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan kehebatan produk agroteknologi dan usahawan Kelantan ke seluruh negara.

Jelas Dato' Tuan Mohd Saripudin lagi, kemajuan sektor pertanian diukur melalui keluasan tanah, hasil tuaian atau kecanggihan teknologi dan turut bergantung kepada kesungguhan membina masyarakat yang menghargai tanah, memuliakan usaha dan memahami bahawa setiap benih yang ditanam dengan niat ikhlas adalah satu amal yang diberkati.

"Marilah kita menghayati tema 'Transformasi Tani Perkasa Hasil Berkualiti' sebagai tekad bersama untuk membina sektor pertanian moden, mampan, berdaya saing dan diberkati Allah SWT," katanya.

Pautan berjaya disalin!