Accessibility Tools

Skip to main content

Ekspo Tani Kelantan 2026 catat jualan RM457,646 dalam tempoh tiga hari

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 26 Julai - Ekspo Tani Kelantan 2026 mencatat nilai jualan sebanyak RM457,646 setakat hari ketiga penganjurannya, sekali gus dijangka melepasi RM500,000 selepas berakhirnya program itu pada hari keempat.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah itu direkodkan setakat hari ketiga program menerusi jualan di pelbagai gerai serta ruang pameran sepanjang ekspo yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai di Dataran Warisan Sultan Muhamad IV.

Katanya, walaupun penganjuran kali ini tidak diadakan dalam skala besar seperti sebelum ini, sambutan pengunjung tetap menggalakkan.

"Setakat hari ketiga, jualan yang dicatatkan oleh pelbagai gerai jualan dan juga di bahagian pameran ialah sebanyak RM457,646.

"Kalau dicampur dengan hari terakhir, iaitu hari keempat, kita jangka jumlah jualan akan melebihi setengah juta ringgit," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Tani Kelantan 2026 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini, semalam.

Ujarnya, pencapaian itu membantu usahawan tempatan yang gigih mencari rezeki, selain membuktikan pengunjung bukan sekadar hadir melihat pameran, malah turut berbelanja mendapatkan barangan yang diperlukan.

"Ini dapat membantu usahawan-usahawan tani tempatan kita yang sentiasa menerapkan rinovasi dan teknologi dalam perusahaan mereka" katanya.

Mengulas lanjut, Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, penganjuran Ekspo Tani Kelantan 2026 turut menjadi platform untuk memacu pembangunan sektor pertanian negeri, terutama dalam memperkukuh usaha meningkatkan keterjaminan makanan.

Menurutnya, usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi berkaitan, petani, penternak, nelayan dan peladang.

"Dengan penganjuran ini kita dapat menghimpunkan pemain industri pertanian sekali gus merancakkan industri pertanian melalui pelbagai seminar, bengkel, pertandingan dan pameran.

"Rakyat juga dapat melihat pemain industri berkongsi pengalaman supaya industri ini tidak statik, sebaliknya terus berkembang melalui ilmu, teknologi, inovasi serta pembukaan rangkaian dan peluang perniagaan yang lebih meluas," katanya.

Antara agensi yang menyertai pameran dan jualan dalam ekspo tersebut ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Wilayah Gua Musang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), IADA Kemasin Semerak, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kumpulan Pertanian Kelantan berhad (KPKB) dan lain-lain.

FELDA Wilayah Gua Musang dinobatkan sebagai reruai tercantik, manakala MARDI di tempat kedua dan IADA Kemasin Semerak di tempat ketiga.

Turut hadir, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Shaari Hussain dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.

Pautan berjaya disalin!