Exco Kesihatan seru rakyat budayakan gotong-royong, kekang ancaman denggi
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 26 Julai – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menyeru seluruh rakyat membudayakan amalan gotong-royong bagi membendung penularan wabak denggi yang masih menjadi ancaman kepada kesihatan awam.
Beliau berkata, kejayaan memerangi denggi tidak boleh disandarkan kepada tindakan pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama menyeluruh daripada setiap lapisan masyarakat dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Beliau berkata demikian dalam medianya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Kempen Mencegah Wabak Denggi anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), agensi-agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat di perkarangan Masjid Mukim Kemumin, di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga 18 Julai 2026, sebanyak 627 kes demam denggi direkodkan di Kelantan termasuk satu kes kematian, berbanding 961 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 34.76 peratus.
“Penurunan ini merupakan perkembangan yang positif, namun ia bukan alasan untuk kita berasa selesa. Denggi merupakan penyakit berbahaya yang boleh menyebabkan komplikasi serius malah meragut nyawa sekiranya tidak dicegah dan dirawat dengan segera.
“Justeru, usaha membanteras denggi memerlukan penyertaan aktif seluruh masyarakat. Kebersihan persekitaran bermula daripada rumah sendiri dan setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan masing-masing,” jelasnya.
YB Hilmi juga memaklumkan, situasi di peringkat nasional masih membimbangkan apabila sebanyak 42,848 kes demam denggi direkodkan di Malaysia setakat Julai 2026 berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus meletakkan negara di tangga ketiga tertinggi penularan wabak denggi selepas Indonesia dan Vietnam.
Katanya lagi, tindakan penguatkuasaan turut diperkasakan bagi meningkatkan pematuhan masyarakat terhadap aspek kebersihan persekitaran.
Menurutnya, sehingga 18 Julai 2026, sebanyak 196,295 premis telah diperiksa bagi mengesan tempat pembiakan Aedes, manakala 415 kompaun dengan nilai keseluruhan RM207,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati mempunyai pembiakan nyamuk Aedes di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).
“Penguatkuasaan penting sebagai langkah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan kawasan masing-masing. Namun apa yang lebih utama ialah membentuk kesedaran bahawa pencegahan merupakan benteng terbaik dalam memutuskan rantaian penularan denggi,” menurutnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat menjadikan amalan ‘10 Minit Seminggu’ sebagai rutin setiap keluarga dengan meluangkan masa memeriksa kawasan rumah, membersihkan longkang, membuang bekas yang boleh menakung air serta memusnahkan semua lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Tambahnya, amalan yang kelihatan kecil itu mampu memberi impak besar dalam mengurangkan risiko penularan denggi dan melindungi ahli keluarga serta komuniti daripada dijangkiti penyakit berbahaya tersebut.
Beliau turut mengajak institusi pendidikan, masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, sektor swasta, golongan belia dan seluruh komuniti untuk terus berganding bahu menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup.
“Semangat gotong-royong melambangkan kesatuan masyarakat dalam menjaga kesihatan awam. Apabila tempat pembiakan Aedes dimusnahkan, kita bukan sahaja berjaya mencegah penularan wabak, malah turut menyelamatkan nyawa.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan slogan ‘10 Minit Seminggu, Rumah Bersih, Denggi Sifar’ sebagai amalan berterusan demi memastikan Kelantan kekal sebagai negeri yang bersih, sihat dan sejahtera,” serunya.












