LSS5: 280,000 modul solar, 473 inverter jana elektrik bersih untuk 75,000 rumah setahun
Oleh: Irham Hilmi Hashim
PASIR MAS, 23 Julai – Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Kampung Serongga Mukim Apam akan dilengkapi dengan kira-kira 280,000 keping modul solar dan 473 unit inverter, selain dijangka menjana sekitar 300,000 megawatt jam (MWh) tenaga elektrik bersih setahun yang mampu membekalkan keperluan elektrik kepada kira-kira 75,000 buah rumah di Malaysia.
Pengerusi Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. Datuk Wira Mohd Anis Hisham berkata projek yang dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) seluas kira-kira 400 ekar itu turut dianggarkan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) melebihi 200,000 tan metrik setahun, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan sasaran pelepasan sifar bersih.
Menurutnya, projek berkenaan menandakan peralihan penting daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan pembinaan berskala penuh.
“Projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Pasir Mas merupakan antara pembangunan tenaga boleh baharu terbesar di Negeri Kelantan yang dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 162 hektar (400 ekar) di Kampung Serongga Mukim Apam Gual Periok yang dipajak daripada PKINK bagi tempoh 23 tahun.
“Diterajui oleh Samaiden Group Berhad sebagai pemaju keseluruhan dan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), projek ini merangkumi Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. (99.99MWac/150MWp) dan GVU Fajar Timur Sdn. Bhd. (27.60MWac/45MWp) dengan jumlah kapasiti keseluruhan 127.59MWac (195MWp),” katanya pada majlis perasmian projek itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan tersebut dijangka merancakkan ekonomi tempatan menerusi pewujudan kira-kira 50 peluang pekerjaan kepada anak Kelantan, selain membuka ruang kepada penglibatan kontraktor dan pembekal tempatan serta memperkukuh pembangunan modal insan.
Katanya lagi, projek bersepadu itu turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Kelantan sebagai destinasi pembangunan tenaga hijau yang berdaya saing dan mampan.
“Pembangunan SLT dan GVU Fajar Timur secara bersepadu dijangka mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai hab tenaga boleh baharu yang sedang berkembang, selain mewujudkan nilai ekonomi berkekalan untuk negeri ini.
“Selain menjana elektrik bersih, projek ini akan mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada ekosistem tenaga boleh baharu negeri,” katanya.
Di bawah Program Solar Berskala Besar Malaysia (LSS5), pembangunan itu melibatkan dua projek solar berskala utiliti iaitu Samaiden Legasi Timur Sdn. Bhd. berkapasiti 99.99MWac di bawah Pakej 3 LSS5 dan GVU Fajar Timur Sdn. Bhd. berkapasiti 27.60MWac di bawah Pakej 2 (Bumiputera).
Secara keseluruhan, pembangunan bersepadu itu mewakili kapasiti terpasang gabungan kira-kira 196MWp, sekali gus menjadikannya antara projek solar berskala utiliti terbesar di Kelantan.
Datuk Wira Mohd Anis memaklumkan, projek tersebut turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan dengan penglibatan ramai profesional kelahiran Kelantan, di samping membuka peluang kepada subkontraktor tempatan menyertai rantaian bekalan negeri.
Tambahnya, bersama projek EPCC solar berkapasiti 9.99MWac yang sedang dibangunkan di Tok Bali, Samaiden dijangka memiliki jejak pembangunan tenaga solar sekitar 210MWp di seluruh Kelantan.
“Projek ini bukan sekadar pembangunan kemudahan solar berskala utiliti tetapi mewakili perkongsian jangka panjang yang dibina atas kepercayaan, visi bersama dan komitmen mewujudkan peluang ekonomi serta memperkasakan komuniti tempatan,” katanya.
Beliau optimis, pelaksanaan Projek Solar LSS5 Pasir Mas itu memperkukuh peranan Kelantan dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menerusi penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih bersih, mampan dan berdaya saing.














