Accessibility Tools

Skip to main content

400 ekar projek solar LSS5 pacu ekonomi Kelantan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

PASIR MAS, 23 Julai – Projek Solar Berskala Besar (LSS5) seluas 400 ekar di Kampung Serongga Mukim Apam yang dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui pajakan selama 23 tahun dijangka menjadi pemacu pembangunan ekonomi hijau serta industri tenaga boleh baharu di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan projek strategik itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pembangunan tenaga lestari yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, pembangunan loji tenaga solar tersebut bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga bersih negeri malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, penyertaan usahawan tempatan, pembekal perkhidmatan serta rantaian ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak mahu pembangunan yang akhirnya meminggirkan masyarakat tempatan atau menyebabkan mereka menjadi asing di bumi sendiri. Sebaliknya setiap pelaburan yang dibawa masuk hendaklah membuka ruang kepada penyertaan rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta mengangkat kesejahteraan negeri secara menyeluruh.

“Insya Allah melalui projek yang akan dibangunkan ini saya yakin ia akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, para usahawan, pembekal perkhidmatan serta tenaga kerja anak-anak Kelantan untuk turut serta dalam rantaian nilai ekonomi yang terhasil,” katanya.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Dato' Mohd Nassuruddin Daud

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5) Pasir Mas di Kampung Serongga Mukim Apam, di sini, hari ini.

Majlis perasmian pula disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air YAB Datuk Amar Fadillah Yusof.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal dan Exco Kerjaya Infrastruktur Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin.

Mengulas lanjut, Dato' Mohd Nassuruddin berkata krisis tenaga global ketika ini membuka ruang lebih luas kepada pembangunan industri tenaga boleh baharu khususnya tenaga solar yang semakin diiktiraf sebagai sumber tenaga yang stabil, mampan dan berdaya tahan.

Jelasnya, tenaga solar mempunyai potensi besar untuk menyokong keperluan tenaga masa hadapan di samping mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan berimpak tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membawa limpahan manfaat berterusan kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, kejayaan projek itu turut menyerlahkan peranan PKINK sebagai pemudah cara dalam menarik pelaburan strategik ke Kelantan melalui penyediaan tapak pembangunan yang berdaya maju.

Katanya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan, agensi berkaitan dan sektor swasta menjadi asas penting dalam memperkukuh ekosistem pelaburan serta mempercepat pembangunan industri tenaga boleh baharu di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!