Accessibility Tools

Skip to main content

140 pelajar DUN Kijang ke IPTA dirai

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Sebanyak 140 pelajar dari DUN Kijang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dirai dalam satu majlis penghargaan di Pusat Khidmat DUN Kijang, semalam.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan disiplin, kesungguhan dan pengurusan masa yang baik.

Menurutnya, kehidupan di universiti menuntut mahasiswa berdikari kerana tiada lagi pihak yang akan memaksa mereka untuk belajar seperti di bangku sekolah.

“Apabila melangkah masuk ke universiti, tiada lagi siapa yang akan memaksa kita belajar. Semuanya bergantung kepada pilihan dan disiplin diri sendiri.

“Kejayaan tidak datang dengan jalan pintas. Belajarlah bersungguh-sungguh, urus masa dengan baik dan kejarlah keputusan yang cemerlang. Jangan sekadar lulus tetapi berusahalah untuk membanggakan ibu bapa dengan pencapaian terbaik termasuk berada dalam senarai dekan pada setiap semester,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam media rasminya selepas berucap di Majlis Meraikan Pelajar IPTA DUN Kijang yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kijang, semalam.

Dalam pada itu, Dato’ Dr Izani menzahirkan rasa syukur kerana saban tahun semakin ramai anak-anak DUN Kijang berjaya menyambung pengajian ke IPTA, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan tinggi.

Katanya, perkembangan tersebut merupakan petanda positif dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.

Beliau turut mendoakan agar semua pelajar yang dirai terus diberikan kekuatan dan dipermudahkan urusan sepanjang menempuh alam pengajian.

“Semoga anak-anak ini terus melakar kecemerlangan serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada keluarga, agama, masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Pautan berjaya disalin!