Accessibility Tools

Skip to main content

Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan pemangkin lahirkan lebih banyak karya berkualiti - Exco Pendidikan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Cadangan penganjuran Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan berpotensi menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak karya berkualiti di samping memberi penghormatan kepada individu yang berjasa memartabatkan bahasa dan kesusasteraan di negeri ini.

Demikian menurut Exco Pendidikan Pengajian Tinggi Teknologi Hijau Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat.

“Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan juga dilihat mampu menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak karya berkualiti di samping memberi penghormatan kepada individu yang telah berjasa dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan di negeri ini,” jelasnya.

Katanya, anugerah berkenaan mampu menjadi platform pengiktirafan kepada tokoh, penulis, sasterawan dan penggiat bahasa yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan bahasa dan kesusasteraan di Kelantan.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan positif selaku agenda utama yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) ke pejabatnya, semalam.

Beliau menyifatkan kunjungan berkenaan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan DBPWT.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha serta jalinan kerjasama yang mampu menyemarakkan budaya ilmu, memperluaskan tradisi penulisan dan menyuburkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Bahasa Melayu ialah medium komunikasi dan merupakan wahana penyatuan masyarakat serta lambang identiti dan warisan bangsa yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.

Beliau memaklumkan, pertemuan bersama delegasi DBPWT yang diketuai Pengarahnya, Ariza Che Ismail turut membuka ruang memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bahasa, sastera, pendidikan, penerbitan dan pembangunan modal insan.

Tambahnya, pelaksanaan program secara bersepadu antara kerajaan negeri dan DBPWT mampu meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebahasaan, memperkukuh budaya penulisan serta menyemarakkan apresiasi terhadap karya sastera Melayu.

Dato' Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada DBPWT atas kunjungan tersebut dan berharap hubungan strategik yang terjalin akan terus diperkasakan menerusi pelbagai program berimpak tinggi.

“Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan bahasa dan sastera sebagai warisan, jati diri bangsa serta pemacu pembinaan masyarakat berilmu di Kelantan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Exco Pendidikan Pengajian Tinggi Teknologi Hijau Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohamad.

Pautan berjaya disalin!