Kelantan destinasi persidangan perubatan antarabangsa
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Penganjuran 21st Annual Scientific Meeting of the College of Pathologists, Academy of Medicine Malaysia (21st ASM CPathAMM 2026) membuktikan Kelantan semakin mendapat kepercayaan sebagai destinasi penganjuran persidangan saintifik, akademik dan perubatan bertaraf kebangsaan serta antarabangsa.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penganjuran persidangan yang menghimpunkan 400 ahli patologi dari seluruh negara termasuk peserta dari Eropah itu turut memberi impak positif kepada pembangunan sektor kesihatan, pelancongan dan ekonomi negeri.
Menurutnya, sepanjang tahun ini beberapa persidangan berprestij melibatkan doktor pakar, ahli farmasi, profesional kesihatan dan pengamal perubatan telah berjaya dianjurkan di Kelantan sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab penganjuran program ilmiah.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha memperkukuhkan ekosistem kesihatan, penyelidikan dan inovasi. Kita berharap lebih banyak institusi profesional, universiti serta badan antarabangsa memilih Kelantan sebagai lokasi penganjuran program ilmiah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam media rasminya selepas menghadiri majlis pembukaan 21st ASM CPathAMM 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia Dato’ Dr. Azman Yacob manakala ucapan turut disampaikan oleh mantan Presiden College of Pathologists, Academy of Medicine Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Cheong Soon Keng.
Mengulas lanjut, YB Hilmi berkata tema persidangan tahun ini, 'Breaking Boundaries: Advancing the Next Generation of Diagnostic Pathology', bertepatan dengan perkembangan teknologi diagnostik moden seperti kecerdasan buatan (AI), patologi digital, genomik dan perubatan tepat (precision medicine) yang mampu meningkatkan ketepatan diagnosis serta keselamatan rawatan pesakit.
Katanya, kehadiran pakar patologi, penyelidik, pensyarah, pegawai perubatan dan profesional kesihatan dari dalam serta luar negara membuka ruang perkongsian kepakaran dan memperkukuh jaringan kerjasama dalam memajukan bidang patologi negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada College of Pathologists, Academy of Medicine Malaysia, Universiti Sains Malaysia serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan persidangan berprestij tersebut.
“Semoga segala hasil perbincangan, penyelidikan dan perkongsian ilmu sepanjang persidangan ini menjadi pemangkin kepada kemajuan bidang patologi serta meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.










