Kelantan negeri padi, hab pengeluaran makanan strategik negara - Exco Pertanian
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 22 Julai – Kelantan yang dikenali sebagai negeri pengeluar padi telah berkembang sebagai hab pengeluaran makanan strategik negara menerusi transformasi sektor pertanian berasaskan teknologi moden dan pengeluaran berskala besar.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perubahan landskap sektor pertanian negeri itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta menjadikan Kelantan sebagai pemain utama industri agromakanan negara.
Menurutnya, sektor pertanian Kelantan kini berkembang lebih dinamik melalui lonjakan teknologi moden, diversifikasi tanaman serta kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan pemain industri.
“Kelantan kini bukan sahaja bertindak sebagai pembekal padi, malah telah kukuh sebagai hab pengeluaran makanan strategik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata, sektor pertanian secara konsisten kekal sebagai penyumbang kedua terbesar ekonomi Kelantan dengan menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri selepas sektor perkhidmatan.
Jelasnya, pencapaian sektor agromakanan Kelantan turut dapat dilihat menerusi penguasaan pasaran komoditi utama di peringkat kebangsaan.
“Sehingga tahun 2024 dan 2025, Kelantan muncul sebagai pengeluar tembikai terbesar Malaysia dengan pengeluaran tertinggi negara mencecah 64,827 metrik tan (MT).
“Selain itu, Kelantan turut menghasilkan komoditi berskala besar termasuk durian sebanyak 66,800 MT, tomato 70,681 MT, cili 17,415 MT dan timun 20,565 MT,” ujarnya.
Tambahnya, negeri ini turut menerajui pengeluaran produk khusus seperti salak, madu lebah kelulut, labu manis, ubi keledek dan jagung manis.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai jelapang makanan negara, katanya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan pertanian berimpak tinggi melalui pewujudan beberapa zon agrovalley.
Antaranya Rong Chenok Agro Valley di Pasir Mas di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), KPKB Agro Farm Gual Ipoh di Tanah Merah serta Projek Kelantan Bio Valley di Pasir Puteh.
“Pewujudan kawasan koridor pertanian khusus ini bertujuan memusatkan pengeluaran secara komersial dan memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri serta negara,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan belia agar menceburi sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi terkini seperti sistem fertigasi pintar, pertanian bertingkat (vertical farming) dan penggunaan dron dalam usaha memodenkan industri tersebut.
Katanya, pelbagai program latihan serta insentif disediakan kerajaan negeri bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan agropreneur muda.
Sementara itu, beliau berkata pendekatan mentor-mentee menerusi Projek Komuniti Tanaman Harum Manis Al-Falah di Kandis dan Projek Komuniti Durian Al-Falah Selising berjaya membantu peserta membangunkan ekonomi komuniti masing-masing.
Beliau dalam masa sama mengajak rakyat Kelantan dan seluruh masyarakat hadir memeriahkan Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai 2026 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
Bertemakan 'Bertani Satu Ibadah: Transformasi Tani, Perkasa Hasil Berkualiti', ekspo berkenaan menghimpunkan inovasi, teknologi, hasil pertanian berkualiti, usahawan agro serta pelbagai agensi yang bersama-sama memacu kemajuan sektor pertanian negeri.










