Kes narkotik turun 13 peratus, PEMADAM sokong penuh usaha PDRM
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 22 Julai – Penurunan sebanyak 13 peratus kes narkotik di Kelantan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 menjadi bukti keberkesanan tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi PEMADAM Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhamad berkata, langkah proaktif PDRM Kontinjen Kelantan yang menetapkan sasaran kepada setiap Ketua Balai Polis untuk mempergiatkan tindakan membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah wajar diberikan sokongan.
Menurutnya, inisiatif yang digerakkan Ketua Polis Kelantan Dato' Mohd. Yusoff Mamat itu membuktikan komitmen tinggi PDRM dalam memerangi ancaman dadah yang menjadi musuh utama masyarakat.
"Pendekatan yang lebih tersusun, berfokus dan berasaskan tanggungjawab di setiap peringkat diyakini mampu memperkukuhkan keberkesanan operasi serta memutuskan rantaian pengedaran dadah.
"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, kes narkotik di Kelantan menurun sebanyak 13 peratus, manakala tangkapan berkaitan narkotik turut menurun 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu" katanya menerusi kenyataan media di laman rasmi, hari ini.
Pada masa sama, YB Zamakhshari memaklumkan, nilai rampasan dadah meningkat kepada RM15.6 juta, membuktikan tindakan penguatkuasaan semakin berkesan dalam menyasarkan rangkaian pengedaran dan sindiket dadah.
Beliau berkata, pencapaian itu wajar diberikan pengiktirafan dan dijadikan pemangkin untuk memperhebatkan lagi usaha membanteras dadah di negeri ini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut menegaskan bahawa PEMADAM Kelantan bersedia berganding bahu dengan PDRM dalam menjayakan jihad memerangi dadah kerana usaha membanteras gejala itu bukan tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.
Tambahnya, kerjasama erat melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, ibu bapa dan rakyat amat penting bagi membendung penyalahgunaan dadah daripada terus menular.
Beliau berkata, PEMADAM Kelantan komited memperkasakan program pencegahan melalui pendidikan, advokasi, kesedaran masyarakat, pembangunan belia serta pengukuhan institusi keluarga bagi menyelamatkan lebih ramai anak muda daripada terjebak dengan gejala dadah.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa PEMADAM juga bersedia menjadi rakan strategik kepada PDRM dalam memperluaskan kempen kesedaran di peringkat akar umbi, khususnya melibatkan komuniti, sekolah, institusi pengajian tinggi dan golongan belia.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Kelantan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dengan menyalurkan maklumat, tidak melindungi penjenayah dadah serta bersama-sama membina benteng sosial yang kukuh demi memastikan negeri ini bebas daripada ancaman dadah.








