Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


Sektor pertanian sumbang RM6.1 bilion KDNK Kelantan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 22 Julai – Sektor pertanian terus menjadi antara tonggak utama ekonomi Kelantan apabila merekodkan sumbangan sekitar RM6.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri, membuktikan kekuatan ekonomi negeri yang berasaskan agromakanan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, sektor pertanian menyumbang antara 20 hingga 22.8 peratus kepada keseluruhan KDNK Kelantan, sekali gus menunjukkan peranan penting sektor itu dalam pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, kadar sumbangan tersebut jauh lebih tinggi berbanding purata sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negara yang hanya sekitar enam hingga tujuh peratus.

“Apabila kita berbicara tentang ekonomi Kelantan, kita tidak boleh memisahkan negeri ini daripada sektor pertanian. Hari ini, sektor pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Negeri Kelantan selepas sektor perkhidmatan.

“Hakikat ini menunjukkan bahawa kekuatan ekonomi Kelantan mempunyai asas yang kukuh dalam sektor agromakanan dan sumber bumi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, hari ini.

Menurutnya, kelebihan Kelantan bukan hanya bergantung kepada pengeluaran padi, sebaliknya negeri ini memiliki ekosistem pertanian yang pelbagai meliputi tanaman makanan, buah-buahan, penternakan serta perusahaan asas tani.

Katanya lagi, selain menjadi antara pengeluar utama beras negara melalui kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kelantan turut terkenal dengan pengeluaran komoditi seperti tembikai, tomato tanah tinggi di Lojing, cili, timun, durian serta madu kelulut.

“Dalam sektor penternakan pula, negeri ini terus mencatat perkembangan yang memberangsangkan termasuk dalam pembangunan baka lembu hibrid.

“Kepelbagaian ini menjadikan sektor pertanian Kelantan lebih berdaya tahan, mampu mengurangkan risiko pergantungan kepada satu komoditi sahaja dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, perkembangan sektor pertanian negeri turut diperkukuhkan dengan penglibatan generasi muda yang semakin melihat bidang tersebut sebagai industri berpotensi tinggi dengan penggunaan teknologi moden.

Tegasnya, pertanian kini bukan lagi sekadar aktiviti tradisional bahkan mampu menjadi kerjaya profesional yang menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada jaminan bekalan makanan negara.

“Cabaran sebenar hari ini bukanlah kekurangan tanah, tetapi kekurangan generasi yang bersedia mengusahakannya.

"Kita mahu melahirkan anak-anak muda yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi pertanian moden, bahkan memahami bahawa mengusahakan tanah ialah satu amanah, satu kerjaya profesional dan satu ibadah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri Kelantan terus mengangkat gagasan Bertani Satu Ibadah sebagai asas pembangunan sektor pertanian negeri.

“Pertanian bukan sekadar aktiviti ekonomi tetapi satu bentuk ibadah yang memberi manfaat kepada manusia, alam sekitar dan generasi akan datang,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas sokongan serta pelbagai bantuan yang disalurkan kepada Kelantan termasuk projek pemasangan sistem pam mudah alih dan pemulihan infrastruktur pengairan di bawah KADA.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan dalam agenda keterjaminan makanan perlu terus diperkukuhkan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Selesai majlis perasmian, Menteri Besar bersama dif-dif kehormat meluangkan masa meninjau pameran agensi kerajaan, jabatan berkaitan pertanian serta reruai usahawan tani yang mengambil bahagian dalam Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026.

Pautan berjaya disalin!