YB Zamakhshari tinjau persiapan atlet SUKMA Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad turun padang meninjau persiapan atlet Kontinjen Kelantan dalam tiga acara sukan sebagai tanda sokongan dan komitmen kerajaan negeri memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, Ogos depan.
Menerusi lawatan kerja tersebut, YB Zamakhshari meninjau sesi latihan atlet memanah, tinju dan bola sepak di Pasir Mas yang kini giat menjalani latihan intensif bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
Kunjungan berkenaan turut disertai Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) KelantanMohd Arman Zulkifli diiringi barisan pengurusan pasukan serta jurulatih yang bertanggungjawab memastikan setiap atlet berada pada tahap kecergasan dan prestasi terbaik.
Menurut YB Zamakhshari, skuad memanah Kelantan dilihat mempunyai potensi besar untuk menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen negeri berdasarkan persiapan yang sedang dijalankan.
"Kita menyasarkan ada pingat emas bakal dibawa pulang oleh skuad memanah kali ini, insya Allah," katanya.
Dalam lawatan ke kem latihan tinju pula, beliau memuji semangat juang yang dipamerkan atlet muda Kelantan sepanjang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi saingan di Selangor nanti.
"Melihat kepada semangat juang yang ditunjukkan oleh anak-anak muda kita membuktikan kesediaan mereka untuk berhadapan dengan cabaran kelak.
"Kita harap atlet tinju kita mampu mempamerkan aksi cemerlang dan membawa pulang kejayaan buat Kelantan pada temasya SUKMA nanti," ujarnya.
Sementara itu, beliau turut meninjau latihan pasukan bola sepak Kelantan yang kini memasuki fasa akhir persiapan menjelang kejohanan.
Menurutnya, hanya berbaki kira-kira sebulan sebelum temasya SUKMA berlangsung, sekali gus menuntut semua atlet untuk terus fokus dan mengekalkan disiplin latihan.
"Semoga seluruh atlet Kelantan mampu mempamerkan aksi yang cemerlang dan membawa pulang pingat buat Kelantan pada SUKMA nanti," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jurulatih, pegawai dan pengurusan pasukan yang terus komited membimbing atlet demi memastikan Kontinjen Kelantan mampu mencatat pencapaian terbaik pada temasya SUKMA 2026.












