Warga emas aset masyarakat, suara mereka terus diberi perhatian
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 22 Julai – Kerajaan Negeri akan terus memastikan suara dan kebajikan warga emas sentiasa diberi perhatian kerana golongan itu merupakan aset masyarakat yang kaya dengan pengalaman, kebijaksanaan serta mampu menjadi rujukan kepada generasi muda.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pendekatan menyantuni warga emas melalui program turun padang memberi peluang kepada kerajaan mendengar sendiri pandangan, keperluan dan harapan mereka bagi memperkukuh agenda kebajikan negeri.
“Program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan menjadi medium terbaik untuk bertanya khabar, mendengar pandangan serta berkongsi pengalaman hidup daripada insan-insan yang telah banyak berjasa kepada masyarakat,” katanya.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Rohani Ibrahim
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sarapan Pagi Bersama Warga Emas di UDM Tanjong Mas yang berlangsung di Kedai Kopi Sin, Tali Air Kampung Bechah, di sini, semalam.
Dato’ Rohani berkata, warga emas perlu terus diraikan dan dihargai kerana pengalaman serta kebijaksanaan yang dimiliki mereka merupakan khazanah bernilai dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.
Menurutnya, hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat perlu diperkukuhkan supaya setiap dasar serta inisiatif kerajaan benar-benar menepati keperluan rakyat khususnya golongan yang memerlukan perhatian.
Tambahnya, kerajaan negeri komited memperkasa agenda kebajikan menerusi pelbagai program yang menyantuni warga emas agar mereka terus menikmati kehidupan yang berkualiti, sihat dan sejahtera.
“Usaha mendekati warga emas secara berterusan mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan golongan tersebut terus dihargai, didengari dan kekal memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat,” jelasnya menerusi media sosial pada Selasa.












