Accessibility Tools

Skip to main content

344 unit RMMK Badang siap sepenuhnya

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 22 Julai – Projek Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) Badang di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) berjaya disiapkan sepenuhnya dengan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC) sekali gus menjadi satu lagi usaha Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses pemilikan rumah mampu milik kepada rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, projek perumahan berbilang tingkat itu kini mencapai 100 peratus kemajuan fizikal dan bersedia untuk fasa seterusnya.

Menurutnya, RMMK Badang melibatkan pembinaan tiga blok apartmen setinggi 10 dan 11 tingkat yang menawarkan sebanyak 344 unit kediaman meliputi jenis A, B dan C dengan harga jualan dicadangkan antara RM45,000 hingga RM130,000.

“Selain menyediakan kediaman yang selesa dan mampu dimiliki, projek ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, dewan serba guna, tadika, pejabat pengurusan, sembilan unit gerai serta enam unit kedai bagi memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek RMMK Badang, Jalan PCB, semalam.

Menurutnya, projek bernilai RM26 juta itu dibina oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) selaku kontraktor utama dengan pembiayaan sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap rumah mampu milik di Kelantan.

Tambahnya, aspek kemudahan turut diberi perhatian menerusi penyediaan parkir bertutup di tingkat bawah setiap blok selain 360 petak parkir terbuka untuk kereta, 92 petak parkir motosikal serta sembilan petak parkir khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sedang giat mengenal pasti tapak yang bersesuaian bagi membangunkan projek RMMK di setiap daerah sebagai langkah memperluaskan peluang pemilikan kediaman kepada lebih ramai rakyat.

Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri YB Dato’ Izani Husin, Ketua Eksekutif PKNIK Dato’ Zamri Ismail.

Pautan berjaya disalin!