SPRM hargai komitmen Kerajaan Negeri Kelantan perkasa pencegahan rasuah
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 21 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghargai komitmen Kerajaan Negeri Kelantan khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah menerusi pendekatan berterusan memberi peringatan, penjelasan dan pemahaman kepada penjawat awam mengenai bahaya gejala rasuah.
Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff berkata, kesungguhan kerajaan negeri itu membuktikan integriti dan tadbir urus yang baik sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran negeri.
"Kerajaan Negeri Kelantan memang betul-betul memberi komitmen kepada usaha-usaha pencegahan rasuah dalam kalangan agensi di negeri ini.
"Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak SUK atas komitmen mereka yang benar-benar mahu memberi peringatan, penjelasan dan pemahaman kepada penjawat awam negeri Kelantan khususnya berhubung bahaya gejala rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Fokus Siri Ke-12 terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) bertajuk "Rasuah, Cegah Sebelum Parah" yang dikendalikan Pegawai UPKN Azimi Mahmood di Studio UPKN di sini, hari ini.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff
Menurutnya, sepanjang tahun ini SPRM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan telah melaksanakan pelbagai program pendidikan dan pencegahan rasuah melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus.
Antara program yang dilaksanakan ialah Program PBT Berintegriti Pencegahan Rasuah Berteraskan Nilai Islam dengan kerjasama Bahagian Kerajaan Tempatan (PKT) dan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU), yang memberi penekanan kepada komunikasi dua hala dalam membudayakan nilai integriti dalam kalangan kakitangan.
Selain itu, SPRM turut melaksanakan Program Pencegahan Rasuah Dalam Penguatkuasaan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Program Pencegahan Rasuah Dana Awam bersama Pejabat Tanah dan Galian Kelantan serta program bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.
Azmin memaklumkan, SPRM juga sedang membuat persiapan melancarkan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) peringkat Negeri Kelantan selain meneruskan penarafan dan penganugerahan kepada agensi kerajaan negeri yang mengamalkan tadbir urus terbaik serta melaksanakan cadangan penambahbaikan yang disyorkan.
"Ini memberi rangsangan dan dorongan kepada agensi di Kelantan untuk menambah baik prosedur dan tadbir urus masing-masing. Program ini dilaksanakan bersama BITU," katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menjauhi sebarang bentuk rasuah walaupun melibatkan perkara yang dianggap kecil kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencemarkan maruah diri dan organisasi.
"Janganlah sesekali bermain dengan perbuatan rasuah ini walaupun pada mulanya kecil. Jangan cuba melakukannya. Kita perlu menjaga integriti diri walaupun tidak ada orang melihat. Apabila menyebut soal rasuah, hanya pemberi dan penerima yang tahu namun kita perlu ingat ada dua malaikat di kiri dan kanan yang mencatat setiap amalan kita," tegasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Kelantan agar terus memelihara integriti dan bersama-sama menolak budaya rasuah demi memastikan negeri ini terus dikenali sebagai negeri yang mengutamakan tadbir urus berintegriti dan beramanah.










