Accessibility Tools

Skip to main content

LRA Merbau Chondong dinaik taraf 70 juta liter sehari, manfaatkan 34,000 akaun di tiga jajahan

Oleh: Syamimi Manah

MACHANG, 21 Julai – Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong kini dinaik taraf daripada kapasiti pengeluaran 45 juta liter sehari kepada 70 juta liter sehari menerusi projek bernilai kira-kira RM11.5 juta, sekali gus dijangka memberi manfaat kepada 34,000 akaun pengguna di Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu Selatan bermula awal September ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin berkata, projek naik taraf itu meningkatkan kuantiti bekalan air dan memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke LRA Merbau Chondong, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Exco YB Saizol Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) Azhar Hanafi.

Dato' Dr. Izani berkata, sebelum ini loji berkenaan direka untuk memproses sekitar 45 hingga 50 juta liter air sehari dan peningkatan pengeluaran tanpa menaik taraf sistem boleh menjejaskan kualiti air.

"Dengan penambahbaikan sistem bernilai kira-kira RM11.5 juta ini, LRA Merbau Chondong kini mampu menerima air mentah sehingga 70 juta liter sehari dan berpotensi mencapai 88 hingga 90 juta liter sehari pada masa hadapan." katanya.

Beliau berkata, bekalan sebanyak 70 juta liter sehari itu akan disalurkan ke seluruh bandar Pasir Puteh serta Kota Bharu Selatan sehingga kawasan Ketereh bagi mengatasi isu kekurangan bekalan air yang dihadapi pengguna.

Menurutnya, kerja-kerja penapisan air hampir siap sepenuhnya, manakala kerja mekanikal, ujian sistem dan pembersihan tangki sedang giat dijalankan sebelum bekalan disalurkan kepada pengguna pada awal September.

"Kita bukan sahaja mahu air yang keluar dari sistem penapisan berkualiti tinggi, tetapi juga memastikan air yang sampai kepada pengguna kekal bersih melalui kerja pembersihan tangki dan penambahbaikan keseluruhan sistem." ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pembinaan LRA Machang 1 berkapasiti 50 juta liter sehari kini dalam proses pelaksanaan, manakala LRA Tok Bali yang turut berkapasiti 50 juta liter sehari telah memulakan kerja tanah dan dijangka siap pada 2028.

Selain itu, katanya LRA Kelar 2 dijangka siap sekitar Januari atau Februari 2027 bagi meningkatkan bekalan air di Pasir Mas, manakala LRA Chicha 2 berkapasiti 20 juta liter sehari dijangka siap pada September tahun ini.

Dato' Dr. Izani berkata, kerajaan negeri melalui AKSB juga terus memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan Non-Revenue Water (NRW) menerusi penggantian paip lama, pengesanan kebocoran serta penambahan tenaga kerja bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air.

"Insya Allah menjelang akhir 2027 atau 2028, banyak kawasan yang sebelum ini mengalami masalah bekalan akan menikmati bekalan air yang lebih baik.

"Sasaran kita ialah meningkatkan liputan bekalan air daripada 70 peratus ketika ini kepada liputan penuh apabila semua loji yang sedang dibina siap sepenuhnya menjelang 2030," jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga AKSB yang terus komited melaksanakan penambahbaikan berterusan demi memastikan produktiviti serta kualiti perkhidmatan bekalan air di Kelantan terus dipertingkatkan.

Pautan berjaya disalin!