Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan muncul pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA DARULNAIM, 21 Julai – Kelantan muncul sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia susulan kedudukannya sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mengeluarkan mineral berkenaan sekali gus meletakkan negeri ini pada posisi strategik dalam industri mineral global.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohamed Fadzli Dato’ Hassan berkata kedudukan itu berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Naib Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah AML Holdings LLC Yuki Nakamura bahawa Malaysia merupakan pengeluar manganese ketujuh terbesar dunia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelstone Sdn. Bhd. dan AML Holdings LLC bagi kerjasama pembangunan industri berasaskan sumber mineral di Kelantan di Pejabat Timbalan Menteri Besar di Mabna, hari ini.

“Malaysia merupakan pengeluar manganese ketujuh terbesar di dunia namun hanya Kelantan yang mengeluarkan manganese di negara ini. Oleh itu, secara tidak langsung Kelantan berada pada kedudukan sebagai pengeluar manganese ketujuh terbesar di dunia,” katanya.

Menurutnya, pemeteraian MoU tersebut menjadi langkah strategik untuk memperkukuh pembangunan industri mineral negeri menerusi kerjasama dengan rakan industri dari Jepun yang memiliki kepakaran dalam sektor berkenaan.

Tambahnya, kerjasama itu dijangka merangsang kemasukan pelaburan baharu, mempercepat pemindahan teknologi serta memperkukuh pembangunan rantaian nilai industri mineral, khususnya manganese, sekali gus meningkatkan daya saing Kelantan dalam pasaran global.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut mengharapkan sokongan berterusan daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam aspek bimbingan, penyelarasan dan pemudah cara bagi memastikan potensi industri mineral Kelantan dapat dimanfaatkan secara optimum untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Pautan berjaya disalin!