Kelantan sasarkan 200 petak pengecas EV menjelang 2030
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 21 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan penyediaan sebanyak 200 petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) di seluruh negeri menjelang tahun 2030 sebagai langkah memperkasa kemudahan mobiliti hijau dan menyokong perkembangan penggunaan kenderaan elektrik.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, keperluan penyediaan kemudahan berkenaan dibincangkan dalam Mesyuarat Portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan yang dipengerusikannya di Bilik Gerakan Negeri, semalam.
Menurutnya, hasil maklum balas daripada PBT mendapati penyediaan EVCB di setiap kawasan pentadbiran PBT perlu diberi perhatian selaras dengan perubahan teknologi serta peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik pada masa hadapan.
“Setakat hari ini, Kelantan hanya mempunyai kira-kira 25 EVCB dan jumlah tersebut perlu dipertingkatkan kepada 200 EVCB menjelang tahun 2030.
“Perkara ini memerlukan perancangan rapi melibatkan semua PBT bagi memastikan kemudahan pengecasan dapat disediakan secara lebih menyeluruh dan strategik,” katanya.
Beliau memaklumkan, kemudahan tersebut penting bagi memenuhi keperluan pengguna kenderaan elektrik dan menjadi sebahagian daripada usaha negeri dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan teknologi hijau.
Dalam mesyuarat sama, katanya, turut dibentangkan beberapa perkara lain termasuk cadangan transformasi digital semua urusan PBT Kelantan menggunakan sistem bersepadu yang boleh dikawal selia secara berpusat, Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah kebersihan serta Program I-PASS oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh peranan PBT dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, moden dan responsif terhadap keperluan rakyat serta perkembangan semasa,” jelasnya.










