PKPN santuni 12 ahli menerusi sumbangan kebajikan dan kecemerlangan
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 21 Julai — Persatuan Pegawai-Pegawai Kontrak untuk Perkhidmatan Negeri Kelantan (PKPN) terus membuktikan kecaknaannya dalam menjaga kebajikan ahli apabila menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 12 penerima merangkumi bantuan kebajikan dan kecemerlangan pendidikan sebagai simbol kebersamaan dalam mengharungi suka dan duka kehidupan.
Majlis penyerahan sumbangan yang disempurnakan presidennya, Ahmad Mustapha Ab Azais sebagai tanda penghargaan terhadap ahli yang berdepan ujian kehidupan serta meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam bidang akademik.
Ahmad Mustapha berkata semangat berpersatuan mampu menghimpunkan ahli di bawah satu organisasi sekali gus menjadi wadah saling membantu, mengukuhkan ukhuwah dan berkongsi tanggungjawab ketika ahli ditimpa musibah mahupun menikmati saat-saat kegembiraan.
“Kepentingan berpersatuan ialah apabila kita mampu membina sebuah keluarga besar yang sentiasa hadir dalam setiap fasa kehidupan ahli. Ketika ada yang diuji, kita bersama menghulurkan bantuan. Apabila ada yang diraikan, kita turut berkongsi kegembiraan. Inilah nilai kebersamaan yang menjadi kekuatan PKPN,” katanya pasca majlis di Bilik Mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri (MMK), Aras 5 Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau juga menegaskan, kebajikan ahli akan terus menjadi agenda utama persatuan selaras dengan hasrat memperkukuh hubungan silaturahim dan mewujudkan budaya saling prihatin dalam kalangan warga PKPN.
Pada majlis itu, tujuh penerima menerima sumbangan kebajikan membabitkan lima sumbangan kelahiran anak, satu sumbangan kematian dan satu sumbangan kemasukan wad, manakala lima lagi penerima menerima sumbangan kecemerlangan pendidikan bagi meraikan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam peperiksaan.
Beliau berharap budaya saling menyantuni dan membantu sesama ahli akan terus diperkasakan agar PKPN berperanan sebagai sebuah persatuan professional sekali gus menjadi institusi yang sentiasa dekat dengan kebajikan dan kesejahteraan ahlinya.







